Setiap saat kita perlu membuat pilihan. Sama ada perkara yang baik atau buruk. Setiap pilihan itu kebiasaannya berdasarkan ilmu serta pengalaman yang ada. Pilihan dari perkara yang kecil-kecil sehingga perkara yang besar.
Tanpa ilmu yang benar, pilihan kita mungkin tersasar dari landasan kebenaran. Perkara yang signifikan adalah membuat pilihan berdasarkan kebenaran dan bukannya kebathilan. Maka sumber rujukan utama yang perlu dijadikan pedoman adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an adalah wahyu dari Allah yang tiada keraguan di dalamnya. Surah Al Baqarah: Ayat 2
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ
- Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa;
Pilihan untuk menjalani kehidupan berdasarkan wahyu ini perlu dimulakan dengan melakukan proses pembelajaran intensif mengenai isi kandungan Al-Qur’an secara keseluruhannya.
Sebagaimana kita begitu serius belajar akademik di peringkat persekolahan dan universiti, perkara yang sama perlu dilakukan untuk pembelajaran Al-Qur’an.
Pembelajaran yang sistematik dan komprehensif perlu dilakukan di dalam memahami Al-Qur’an. Mengapa? Al-Qur’an adalah wahyu dari Allah dan panduan kehidupan yang lengkap. Alangkah ruginya, masyarakat yang tidak memahami Al-Qur’an.
Contohnya, ia perlu bermula bukan sekadar mempelajari tajwid dan taranum semata-mata, namun memahami mesej yang ingin Allah sampaikan.
Proses tadabbur, penelitian dan analisis tentang isi Al-Qur’an perlu dilakukan oleh setiap individu. Banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an mengajak manusia berfikir. Surah Muhammad: Ayat 24
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَآ
24. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup.
Begitu banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an mengajak manusia berfikir. Memaksimumkan potensi akal.
Surah Al-Imran: Ayat 190 sehingga 192
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ
190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدۡخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدۡ أَخۡزَيۡتَهُۥۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ
191. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
192. Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan golongan ulul albab adalah golongan yang mengambil pelajaran dari ciptaan langit dan bumi serta menggunakan akal untuk berfikir.
Maka, proses berfikir ini perlu dilatih supaya kita membuat sesuatu pilihan setelah ilmu yang benar. Seharusnya, berfikir ini perlu dimulakan dengan berfikir tentang ayat-ayat Allah.
Melakukan perenungan terhadap setiap ayat Al-Qur’an serta refleksi. Seterusnya melalui perenungan itu menjadikan manusia yang boleh menghasilkan inovasi serta memberi nilai di dalam kehidupan.
Misalnya, melalui perenungan di dalam surah Al Kahfi, boleh menyediakan modul membina generasi cemerlang.
Maka, proses berfikir ini perlu dimulakan dengan membaca. Sebagaimana perintah pertama untuk iqra. Dengan membuat pilihan membaca, maka masyarakat boleh membuat pilihan-pilihan yang menghampiri kebenaran. Dimulakan dengan membaca Al-Qur’an.
Insha Allah, dengan pilihan-pilihan yang benar akan membuahkan hasil yang bermanfaat kepada diri, masyarakat dan negara.
Setiap pilihan yang kecil akan memberi impak dan kesan di masa hadapan.
Maka, perlu kita melatih diri kita untuk membuat pilihan dengan penuh kesedaran yang didasari dengan iman dan ketaqwaan.