Setiap ciptaan Allah SWT di muka bumi, walaupun dari jenis yang sama, namun memiliki sifat yang berbeza. Ibaratnya seperti dua ekor lembu yang telah dijaga oleh tuan yang sama, dari baka yang sama, dan umur yang sama, tetapi mempunyai berat badan yang berbeza, dan sifat juga berbeza. Oleh itu, perbezaan ini membuatkan tuan untuk dua lembu ini harus memberikan makanan dan penjagaan kepada haiwan peliharaan sesuai dengan fizikal dan sifat mereka. Apatah lagi manusia, sebaik-baik penciptaan dan juga sudah tentu mempunyai perbezaan. Bahkan dua orang yang dilahirkan kembar sekalipun mempunyai fizikal dan sifat yang berbeza. Perbezaan itu, menjadikan ibu bapa juga akan memberikan layanan kepada anak-anak mereka sesuai dengan sifatnya. Begitulah kehidupan manusia ini yang dijadikan Allah SWT dengan kepelbagaian dan berbeza di antara satu sama lain. Dalam al-Qur’an juga menjelaskan berkaitan berbezanya penciptaan manusia dari sudut fizikal supaya manusia dapat saling mengenali antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Surah Al-Hujuraat: 13)

Ayat ini jelas menjadi galakan kepada kita untuk meraikan setiap perbezaan di antara manusia dengan manusia yang lain. Perbezaan itu satu rahmat daripada Allah SWT, supaya kita saling mengenali antara satu sama lain serta bertakwa kepada-Nya. Oleh itu, raikan perbezaan tersebut dan berlapang dadalah terhadap mereka yang mungkin berbeza sifat dan sikapnya. Namun begitu, bagaimana kita ingin menjadi insan yang meraikan perbezaan itu? Adakah kita perlu menerima perbezaan orang dan memenuhi keperluaan mereka? Jadi bagaimana sebenarnya kita harus bertingkah di atas perbezaan saudara kita? Justeru, penulisan kali ini akan berkongsi mengenai meraikan perbezaan manusia, dan sesuaikannya mengikut kapasiti mereka.

MERAIKAN PERBEZAAN SATU RAHMAT

Berbezanya manusia antara satu sama lain dari sudut adat, budaya, fizikal, tingkah laku adalah satu rahmat buat kita. Contohnya, perbezaan di antara satu komuniti dengan komuniti yang lain, menjadikan kita saling berkenalan di antara satu sama lain. Seperti mana masyarakat disebelah barat mempunyai cara perbualan yang berbeza berbanding masyarakat di sebelah timur. Atau mungkin, perbezaan di antara dua buah keluarga, di mana adat di dalam keluarga A dan keluarga B tidak sama di antara satu sama lain. Oleh itu, apabila kita cuba untuk masuk ke dalam situasi yang berbeza daripada kita, bagi menunjukkan tanda hormat, maka kita cuba menyesuaikan diri dengan situasi tersebut, selagi mana ianya tidak melanggar hukum syariat Islam. Tindakan menyesuaikan diri dengan sesuatu adat dan budaya juga adalah sebahagian daripada kita menunjukkan rasa rendah hati dalam diri kita, dengan mengelakkan melakukan sesuatu yang boleh melanggar adat dan budaya sesuatu kaum dan bangsa sehingga mengguris hati mereka. Seperti mana dalam pengalaman penulis sendiri. Di Malaysia atau negara Asia Tenggara khususnya, makan menggunakan tangan adalah perkara normal dan malahan budaya buat masyarakat di negara ini. Namun begitu, tidak menjadi budaya buat masyarakat di Turki, menggunakan tangan untuk makan adalah sesuatu yang tidak beradab bagi masyarakat di negara tersebut. Oleh itu, untuk menghormati masyarakat di negara tersebut apabila berada di negara mereka, dan mengelakkan sengketa antara satu sama lain, jalan yang paling baik adalah menghormati dan mematuhi segala adat dan budaya mereka, selagi mana tidak bertentangan dengan pensyariatan agama. Kehormatan yang diberikan adalah sebahagian daripada toleransi yang sangat dituntut dalam Islam untuk diamalkan. Nabi Muhammad SAW bersabda:

اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.

(Hadith Riwayat at-Tirmizi)

BERTOLERANSILAH DENGAN KEKURANGAN SAUDARAMU

Maka Islam juga menggalakkan setiap daripada kita mempamerkan akhlak yang baik di antara satu sama lain. Bersikap baik di antara satu sama lain, adalah satu rahmat dan merupakan toleransi dalam hubungan sosial. Bersikap toleransi adalah sebahagian daripada cara untuk menghormati seseorang. Contohnya, kita mempunyai rakan yang mungkin apabila ingin menyampaikan sesuatu kepadanya, kita perlu mengulang beberapa kali, agar dia boleh memahami perkara tersebut. Mungkin, perkara ini akan menguji kesabaran seseorang. Tetapi sebagai tanda toleransi, dan menghormati juga meraikan perbezaan sikap itu, maka bersabarlah dan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dengan kompetensi rakan kita itu. Begitu juga dengan seorang guru, yang mempunyai pelajar-pelajar yang berbeza daripada sudut tahap dan tingkatan kefahaman seseorang. Mungkin sebahagian pelajar yang mudah memahami sesuatu perkara dengan cepat, tetapi ada juga pelajar yang mempunyai tahap kefahaman yang lebih lambat berbanding pelajar yang lain. Maka untuk meraikan semua pihak, guru tersebut perlu menggunakan kaedah yang sesuai dalam pengajaran mereka, untuk menyesuaikan dengan kompetensi atau kecekapan pelajar tersebut. Jelaslah di sini kelebihan yang dimiliki perlu diraikan dengan cuba memahami kekurangan tersebut dan sesuaikan mengikut kompetensi seseorang merupakan sebahagian daripada toleransi dalam hubungan sosial. Oleh itu, orang yang mempunyai kelebihan yang lebih daripada seseorang yang lain, seharusnya berusaha untuk menyesuaikan diri mereka dengan orang yang mungkin lebih rendah daripada mereka. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

(Az-Zukhruf: 32)

Ayat al-Qur’an ini juga menjelaskan kepada kita bahawa perbezaan di antara satu sama lain, sama ada dari segi taraf hidup atau kebijaksanaan, maka bagi mereka yang mempunyai kelebihan tersebut seharusnya bersikap lebih fleksibel dan menyesuaikan diri dalam berhubung atau bersosial dengan pihak yang lebih kurang daripada mereka dari sudut kebijaksanaan, kefahaman atau taraf hidup. Ini adalah salah satu usaha untuk meraikan golongan yang lebih rendah atau kurang daripada mereka. Ini juga akan memberi manfaat kepada pihak yang lain.

SETIAP MANUSIA ADA KELEBIHAN DAN KEKURANGAN

Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Mungkin sebahagian yang lain memiliki kelebihan yang tidak ada pada sebahagian yang lain atau sebaliknya. Kelebihan itu akan melengkapi kekurangan yang lain. Maka jangalah sampai kekurangan pihak lain dipandang hina atau dikeji, tetapi seharusnya dilengkapi dengan penuh rahmat dan kasih sayang dalam hubungan sosial dan bersaudara. Begitulah contohnya, dalam hubungan kekeluargaan, ada di antara ahli keluarga yang mungkin mempunyai kelebihan dari sudut harta, tetapi kurang dari sudut ilmu agama, ada yang lebih daripada sudut ilmu tetapi kurang dari sudut kepakaran yang lain. Maka kelebihan dan kekurangan itu seharusnya dipenuhi di antara satu sama lain. Barulah ianya melengkapi dan dapat eraikan semua pihak. 

Justeru, jelaslah perbezaan di antara satu sama lain, adalah satu rahmat kepada insan, kerana kekurangan seseorang dipenuhi oleh kelebihan orang lain. Oleh itu, ianya memberi manfaat kepada orang yang membantu dengan memperolehi pahala dan memudahkan mereka yang dibantu. Seterusnya, dengan membantu dan dibantu akan menjaga hubungan ke arah yang lebih baik. Maka usaha untuk meraikan perbezaan dengan memenuhi kekurangan melalui kelebihan adalah satu jalan yang positif dan sebagai satu rahmat ke arah mencapai ketaqwaan. Wallahu a’lam