Hasad dengki adalah satu penyakit hati yang boleh mematikan hati serta merosakkan amal ibadah seseorang. Bahkan penyakit hasad ini juga akan mengheret manusia kepada dosa-dosa lain seperti kemunafikan, mengumpat, memfitnah, menghina, serta merosakkan hubungan sosial seseorang. Bahkan perbuatan ini mengotorkan hati manusia dan menjadikan hati seseorang tidak tenang, serta hidup juga sempit dan suram. Ini kerana penyakit hasad dengki ini, datang daripada perasaan iri hati dan tidak puas hati terhadap seseorang sehingga menjadikan seseorang itu merasakan hidupnya tidak seindah dan sebaik orang lain. Jelaslah, hasad dengki ini berasal daripada perasaan yang tidak baik, dan akan membawa kepada kesan yang tidak baik dalam jiwa manusia. Namun begitu, tahukah anda bahawa, ada hadith yang membenarkan sifat hasad ini? Bagaimana sifat hasad yang dibenarkan? Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
“Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang.”
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Penggunaan kalimah ‘hasad’ di dalam hadith ini bukanlah sifat dengki atau iri hati dengan kelebihan yang dimiliki oleh seseorang dari segi ilmu dan harta, tetapi penggunaan kalimah hasad di sini membawa maksud al-Ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu. Lafaz ‘hasad’ yang digunakan di dalam hadith ini adalah majaz (kiasan) sebagai galakan kepada insan untuk turut memasang keinginan untuk memiliki harta dan ilmu supaya ianya dapat disebarkan dan dikongsikan demi kebaikan, dan semua ini dilakukan demi mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Namun begitu, apabila hasad dengki yang muncul dalam hati dan sifat manusia maka perkara itu seharusnya dijauhi. Malahan kita diajar untuk berdoa supaya dijauhi daripada sifat hasad dengki dan iri hati terhadap kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Manusia kini, sebahagian menzahirkan rasa hasad dengki itu sehingga berusaha untuk menjatuhkan orang lain, dan tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Oleh sebab itu, penyakit hasad dengki ini adalah sifat yang bahaya, kerana ianya boleh memudaratkan diri dan orang lain, malahan mengundang dosa. Seperti mana yang telah dicatatkan dalam al-Qur’an, berkaitan kisah Habil dan Qabil yang seharusnya menjadi pengajaran buat kita.
Ibrah Daripada Kisah Qabil & Habil
Kisah yang menjadi pengajaran kepada kita sehingga kini yang turut dirakamkan di dalam al-Qur’an berkaitan dua orang putera Nabi Adam A.S. yang telah mengajar kita berkaitan jiwa manusia yang seharusnya disemai dengan sifat-sifat mahmudah dan akhlak yang mulia. Jiwa manusia yang kosong akan menarik unsur-unsur mazmumah masuk ke dalam hati yang akhirnya melahirkan sifat dengki, iri hati, permusuhan, keganasan, kehancuran dan pembunuhan. Kisah dua putera Adam A.S. ini yang di dalam al-Qur’an tidak disebutkan namanya tetapi maklum mengetahui ianya berkaitan Habil dan Qabil. Konflik di antara mereka mereka bermula apabila Nabi Adam A.S. memerintahkan dua puteranya ini menikahi saudara perempaun mereka sendiri iaitu Iqlimah dan Labuda. Setelah itu, Qabil yang tidak berpuas hati kerana harus menikahi Labuda yang tidak secantik Iqlimah terus mempertikaikannya. Akhirnya Nabi Adam A.S. memerintahkan mereka untuk mempersembahkan korban kepada Allah SWT. Habil yang menerima perintah tersebut dengan lapang dada serta mengharapkan redha Allah SWT mempersembahkan binatang ternaknya sebagai korban manakala Qabil mempersembahkan hasil pertanian iaitu gandum. Akhirnya Allah SWT menerima korban yang dipersembahkan oleh Habil yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan pengharapan sebagai seorang hamba Allah SWT yang mengharapkan keredhaan-Nya. Namun begitu Qabil tidak berpuas hati dengan perkara ini lalu menyimpan dendam terhadap Habil. Perkara ini dirakamkan di dalam al-Qur’an, firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Maaidah: 27)
Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan rasa dendam di dalam diri Qabil. Akhirnya, dendam yang dimiliki membakar dirinya sendiri. Untuk melepaskan dendam itu kepada Habil, lalu Qabil membunuh saudaranya sendiri. Walaupun Qabil menyesali perbuatannya, tetapi penyesalan itu tidak ada gunanya lagi dan sia-sia. Perkara ini dirakamkan di dalam al-Qur’an maksudnya:
“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.”
(Surah Al-Maaidah: 30)
Setelah Nabi Adam A.S. mengetahui perkara ini, baginda redha dengan perkara yang telah berlaku. Peristiwa ini juga telah menguatkan lagi jiwa Nabi Adam A.S. untuk bersabar dan meneguhkan keimanan kepada Allah SWT. Nabi Adam A.S. tidak dapat lagi menerima kembali anaknya Qabil dan dia dihalau. Setelah dia dibuang, Qabil telah dihasut dan dipengaruhi iblis lalu menjadikan dirinya sesat dan keji. Akhirnya, Allah memusnahkan kaum Qabil ini pada zaman Nabi Nuh A.S.. Pengajaran kisah ini adalah, hasad dengki menjadi sumbu kepada maraknya terbakar api hasad dengki sehingga mengatasi rasional akal dan juga merosakkan jiwa manusia itu sendiri. Serta seorang insan yang benar-benar menghidupkan jiwanya kerana Allah SWT dan menjadikan kehidupan dan perbuatan untuk mencapai redha-Nya tidak akan meletakkan nafsu mereka lebih dari segalanya.
Berhati-hati dengan Hasad Dengki
Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
“Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Hadith ini menyebut sifat hasad itu seperti api yang membakar kayu sehingga yang akhirnya meninggalkan abu. Begitulah ianya diibaratkan dengan diri manusia, sifat hasad dengki akan menghapuskan segala kebaikan yang telah diusahakan oleh seseorang. Ini bermakna sifat hasad akan menjadikan amalan seseorang itu sia-sia di sisi Allah SWT. Bahkan sifat hasad dengki ini akan mendorong seseorang membuat kemungkaran atau menyakiti orang lain, oleh kerana rasa tidak puas hati yang muncul dalam jiwanya. Maka di sana, ada sebahagian manusia yang menyihir orang lain, membuat kerosakan terhadap harta benda orang lain atau perbuatan lain yang mengundang kepada kesan yang buruk kepada seseorang. Perbuatan ini dilakukan untuk dengan niat untuk menghilangkan kebaikan yang diperolehi oleh seseorang dan melihat kejatuhan dan kelemahan mereka. Seperti mana yang disebutkan di dalam al-Qur’an, maksudnya:
“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya…”
(Surah A-li ‘Imraan: 120)
Sifat hasad dengki ini, akan menghilangkan rasa simpati dan empati seseorang kepada orang lain, asal apa yang diinginkan dapat diperolehi. Sedangkan dalam Islam, mengajar umatnya untuk saling membantu antara satu sama lain, bukan menjatuhkan. Maka, orang yang memiliki sifat ini akan jauh daripada rahmat Allah SWT, kerana dirinya juga tidak memiliki rahmat di dalam hatinya.
Semaikan Kecintaan, Hapuskan Kedengkian
Semaikanlah rasa kasih dan sayang dalam diri kita, supaya hati kita tidak terlintas untuk merasa iri dan hasad dengki. Islam mengajar umatnya untuk saling mencintai bukan membenci, Islam juga mengajar umatnya saling mengeratkan silaturrahim bukan memutuskannya. Oleh sebab itu dalam sebuah hadith disebutkan, Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:
“Janganlah kalian saling membenci, saling mendengki, saling memalingkan muka, dan saling memutuskan ikatan, dan jadilah kalian sebagai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidaklah halal bagi seseorang muslim untuk mengabaikan dan tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.”
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim).
Seandainya kita melihat seseorang menerima kebaikan dan kelebihan, dan kebaikan itu disalurkan ke jalan-Nya, maka kita seharusnya turut bersyukur dan berbangga terhadap kebaikan tersebut sebagai saudara muslim. Seandainya kita inginkan kebaikan tersebut turut melimpahi diri kita, berdoalah supaya kita turut berpeluang memilikinya. Seandai kita tidak memperolehi sesuatu yang dimiliki oleh orang lain di dunia ini, lihatlah mereka yang lebih susah daripada kita, agar syukur dapat menghalau hasad itu pergi dari sifat kita. Andai hasad itu datang juga, gantikan ia dengan istighfar agar Allah SWT mengampunkan kita dan menjadikan kita orang yang bertakwa. Kesimpulannya, sifat dengki boleh dilawan dengan ikhlas dan redha. Ikhlas dan redha terhadap segala ketentuan yang Allah berikan. Ubat untuk sifat dengki adalah cinta. Kita mencintai saudara kita, sudah tentu apabila kita mencintai mereka, kita inginkan kebaikan buat diri mereka. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW:
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak beriman seseorang dari kamu sampai ia menyukai untuk saudaranya apa yang ia sukai untuk dirinya.”
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Semoga kecintaan yang kita miliki di dalam hati sebagai satu rahmat Allah SWT, kita gunakan untuk mencintai saudara kita, agar kita tidak sesekali menyakiti mereka kerana hasad dengki yang menghasuti hati ini. Berdolah, supaya kita dilindungi daripada sifat hasad dengki ini dan kejahatan manusia, seperti mana firman Allah SWT:
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
“Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”
(Surah Al-Falaq: 5)
Wallahu a’lam.