Hari raya Aidiladha disambut dengan adanya ibadah korban. Ibadah korban adalah ibadah sunat yang dituntut kepada umat Islam untuk dilakukan. Tuntutan ini adalah kepada mereka yang baligh, berakal, merdeka dan mampu untuk melaksanakan ibadah ini. Oleh itu, bagi mereka yang mampu seharusnya berusaha untuk melaksanakan ibadah ini. Ini kerana ibadah korban, adalah salah satu cara untuk kita sebagai umat Islam menzahirkan rasa syukur dengan rezeki dan nikmat yang telah dikurniakan. Bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban ini, seharusnya mengambil keberkatannya daripada perlaksanaan ibadah tersebut dengan membantu menyempurnakan ibadah korban saudara muslim kita yang lain di masjid atau kawasan tertentu, sama ada dengan membantu aktiviti penyembelihan, melapah dan pembersihan.
Walaupun ibadah korban mungkin telah berlalu, tetapi suka untuk saya kongsikan di penulisan kali ini dengan melihat kembali hikmah dan ibrah yang boleh diambil daripada ibadah korban tersebut. Adakah ianya dilihat sebagai salah satu ibadah korban dengan mengorbankan binatang semata-mata dan menikmati daging lembu, kerbau dan unta? Atau lebih dari itu, di mana terdapat hikmah tersembunyi yang harus kita rungkai dan selami, agar ibadah tersebut lebih bermakna untuk dihayati.
Ibrah Kisah Nabi Ibrahim A.S. & Nabi Ismail A.S.
Apabila kita menghayati ibadah korban ini, sudah tentu perkara utama yang harus dihayati untuk kita mengambil ibrah daripadanya adalah daripada kisah Nabi Ibrahim A.S. yang diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih Nabi Ismail A.S.. Perkara ini seperti mana dirakamkan dalam al-Qur’an, firman Allah SWT:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”
(Surah As-Saaffaat: 102)
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kisah bagaimana Allah menguji ketaatan Nabi Ibrahim A.S. dengan perintah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S.. Ayat ini bukan sekadar tentang ujian Allah kepada keluarga ini, tetapi juga mengajar kita tentang perjuangan, pengorbanan dan ketaatan juga keimanan mereka terhadap perintah Allah SWT. Mereka bukan sekadar taat dan beriman tetapi bertakwa kepada Allah SWT sehingga sanggup melakukan pengorbanan yang besar demi menegakkan syiar Islam. Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S., didorong oleh perasaan taat setia dan meyakini bahawa perintah Allah SWT ini adalah satu yang harus ditaati dan dipatuhi dengan rasa ikhlas. Malahan Nabi Ismail A.S. juga menunjukkan kepercayaannya kepada ayahnya Nabi Ibrahim A.S., dan mempercayai bahawa perintah Allah SWT itulah yang perlu beliau taati dan lantaran bersedia untuk menurutnya. Walaupun pada akhirnya, Allah menggantikan Nabi Ismail A.S. dengan seekor kibas, tetapi ianya membawa hikmah buat umat Islam atas penyerahan diri Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. kepada Allah SWT. Kisah ini juga mengajar umat Islam, berkaitan pensyariatan menyembelih ibadah korban yang bukan sekadar penumpahan darah binatang korban semata-mata tetapi lebih luas daripada itu, mengajar umat Islam pelbagai nilai-nilai yang mampu meneguhkan keimanan dan ketaqwaan mereka.
Ibrah yang boleh diambil daripada kisah Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S., bukan sahaja ketaatan dan keimanan yang tinggi terhadap perintah Allah SWT, tetapi juga, adalah perasaan ikhlas dan percaya. Setiap daripada kita diuji dengan pemilikan sesuatu yang sangat kita sayangi, begitu juga dengan Nabi Ibrahim A.S. yang sangat menyayangi Nabi Ismail A.S., dan rasa pemilikan dan sayang itu diuji dengan keikhlasan untuk melepaskan demi keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Begitu juga, dengan Nabi Ismail A.S. yang mempercayai bahawa apa yang dilakukan oleh ayahnya adalah perintah daripada Allah SWT. Sekiranya diibaratkan daripada kehidupan kita, seperti mana Nabi Ibrahim A.S., kita turut memiliki sesuatu yang sangat kita sayangi, pemilikan itu sama ada dalam bentuk anak, harta, pangkat dan lain-lain. Ujian yang mendatang dalam hidup kita, sehingga kita terpaksa melepaskan perkara itu, dan di sana ikhlas dan kepercayaan kita diuji, terhadap keimanan kita kepada takdir Allah SWT. Oleh itu, ikhlas dan percaya adalah dua unsur yang sangat berkait rapat dengan iman dan takwa, bahkan dua unsur ini adalah perkara yang akan menjadi ujian buat keimanan mereka. Begitulah Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an, maksudnya:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah Al-‘Ankabuut: 2)
Pengorbanan itu Mendidik Kesabaran
Sekiranya kita perhatikan firman Allah SWT di dalam Surah As-Saaffaat ayat 102 yang maksudnya, “…Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”, dialog Nabi Ismail A.S. bersama ayahnya, Nabi Ibrahim A.S., menjelaskan kepada kita bahawa, ujian yang dilalui itu menjadikan Nabi Ismail A.S. adalah dikalangan orang yang sabar. Di mana, ayat ini juga mengajar kita untuk bersabar dengan ujian dan musibah yang menimpa. Begitu juga dengan pengorbanan yang dilakukan memerlukan kesabaran dan keredhaan dalam menyerahkan tawakkal sepenuhnya kepada Allah SWT. Seperti contohnya, seorang yang berjuang mempertahankan negara dan agama, mengorbankan nyawa, harta, dan masa untuk duduk di barisan hadapan, dengan penuh sabar dan tawakkal, tanpa mengetahui apa yang menanti di hadapan, dan pengorbanan tersebut memerlukan mereka untuk bersabar dan menyerah segala ketentuan kepada Allah SWT, dengan didasari keimanan dan ketaqwaan. Oleh itu, sabar juga adalah pengorbanan yang perlu dilalui sebagai satu proses oleh para mukmin untuk mendapatkan sesuatu kemenangan. Kemenangan ini sama ada dalam kehidupan di dunia atau pun kehidupan di akhirat kelak, iaitu syurga. Perkara ini seperti mana firman Allah SWT, di dalam al-Qur’an yang menyampaikan khabar gembira kepada mereka yang bersabar dengan segala ujian yang mendatang dalam kehidupan dunia ini:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah Al-Baqarah: 155)
Hikmah Ibadah Korban
Ibadah korban ini, selain daripada mengajar kita tentang ikhlas dan percaya juga kesabaran yang didasari dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, ianya juga mengajar orang-orang beriman untuk saling membantu di antara satu sama lain serta menginfakkan harta di jalan Allah SWT. Dengan perlaksanaan ibadah ini juga dapat mendidik kita untuk membelanjakan harta di jalan Allah, demi membantu memenuhi keperluan kehidupan golongan fakir dan miskin. Untuk menghulurkan bantuan kepada mereka, ianya memerlukan pengorbanan dalam bentuk harta, dan perkara ini akan melahirkan insan yang pemurah hati serta menghakis sifat tamak dan bakhil. Selain itu, kelebihan yang dikurniakan kepada seseorang dalam bentuk harta seharusnya menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan nikmat tersebut. Dan pensyariatan ibadah korban ini juga mendidik orang-orang muslim dan mukmin untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan segala nikmat dan rezeki melalui ibadah yang dijalankan. Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka...”
(Surah al-Hajj:34)
Jelaslah, bahawa perlaksanaan ibadah korban yang telah dilakukan merupakan bukti taqwa dan keimanan seorang hamba kepada Allah SWT, perlaksanaan ibadah ini yang dijalankan ikhlas kerana Allah SWT, akan diganjari dengan kebaikan pahala daripada Allah SWT. Seperti mana firman Allah SWT, di dalam Surah Al-Hajj ayat 37, maksudnya: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu…” Bahkan ibadah korban ini mengajar orang-orang Islam dengan pelbagai elemen-elemen positif, seperti ikhlas, percaya, berkorban, sabar dan lain-lain yang mana nilai ini didasari dengan keimanan dan tujuannya adalah untuk untuk menggapai redha Allah SWT. Oleh itu, bagi mereka yang telah melakukan ibadah korban pada tahun ini, semoga ibadah tersebut diterima oleh Allah SWT dan diganjari di akhirat kelak. Sekiranya tidak mampu untuk melakukan ibadah korban tersebut, pelajarilah hikmah dan ibrah daripada amalan ibadah ini, dan turut sertalah dalam membantu menjayakan ibadah ini. Semoga barakahnya turut diperoleh oleh kita semua. Semoga kita mengambil ibrah dari peristiwa aidiladha ini dan akan dipertemukan dengan aiduladha yang akan datang untuk menjadi golongan yang turut serta dalam sama-sama melaksanakan ibadah korban. Wallahu a’lam.