Bismillah

Puan, suami saya memukul saya Puan. Beliau panas baran. Saya sentiasa di dalam ketakutan jika bersama dia.

Apa yang perlu saya buat Puan?

Saya takut.

Ini antara realiti yang berlaku di dalam masyarakat dan penulis sendiri beberapa kali menguruskan kes melibatkan keganasan rumah tangga.

Maka, apa yang perlu dilakukan?

Kebanyakan wanita tidak berani keluar di dalam kemelut ini kerana bimbangkan masa depan suami serta diri jika membuat laporan kes rumah tangga.

Tujuan pernikahan di dalam Islam adalah untuk mendapatkan mawaddah, sakinah dan rahmah sebagaimana di dalam Surah Ar Rum: Ayat 21

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ  

21.  Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Namun, jika ada mudharat di dalam pernikahan seperti keganasan rumah tangga, Islam tidak menghalang perceraian.

Berikut merupakan antara perkara-perkara yang termasuk dibawah kategori keganasan rumah tangga:

  1. Secara bersengaja dengan meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
  2. Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
  3. Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
  4. Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu;
  5. Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu;
  6. Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa;
  7. Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Maka, pemahaman tentang isu rumah tangga adalah melibatkan perkara yang lebih luas dan menyeluruh. Ia tidak terhad hanya kepada penderaan fizikal. Namun merangkumi aspek emosi.

Islam adalah agama yang menyeru ke arah keamanan dan kesejahteraan. Segala bentuk keganasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Maka, masyarakat secara umumnya perlu membantu individu-individu yang terlibat di dalam kemelut rumah tangga ini untuk keluar dari kitaran hitam ini.

Berikut antara beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mana-mana individu yang terlibat di dalam keganasan rumah tangga

  1. Memohon bantuan dari keluarga serta rakan untuk meninggalkan rumah jika mudharat yang besar berlaku jika masih tinggal bersama;
  2. Membuat laporan polis. Kes memukul dan mencederakan orang lain merupakan satu kesalahan jenayah.
  3. Mendapatkan laporan perubatan di Hospital bagi membuktikan keadaan
  4. Mendapatkan perintah perlindungan sementara dari Mahkamah Majistret bagi memastikan pihak yang melakukan keganasan tidak mendekati mangsa.

Maka, masyarakat perlu cakna tentang tindakan yang boleh dilakukan jika terlibat dengan isu keganasan rumah tangga.

Sistem sokongan juga amat penting di dalam menghadapi krisis keganasan rumah tangga. Ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat perlu prihatin terhadap apa yang berlaku disekeliling mereka bagi memastikan keganasan rumah tangga dapat dibendung.

Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk bagi seluruh manusia memberi panduan di dalam kehidupan di dunia. Al-Qur’an tidak terhad hanya untuk orang islam sahaja. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 185

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ  

185.  (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Antara mesej-mesej penting di dalam Al-Quran adalah 

  1. Berhubung dengan manusia secara baik. Perintah untuk berkata-kata dengan kata-kata yang baik sesama manusia sebagaimana di dalam Surah Al-Baqarah: 83

وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ لَا تَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَانٗا وَذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسۡنٗا وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيۡتُمۡ إِلَّا قَلِيلٗا مِّنكُمۡ وَأَنتُم مُّعۡرِضُونَ  

83.  Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

  1. Perintah untuk berlaku adil dan melakukan kebaikan kepada kaum kerabat serta melarang daripada melakukan kemungkaran dan kezaliman. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al Nahl: Ayat 90

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ  

90.  Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Ma shaa Allah, begitu indah peringatan Allah di dalam Al-Qur’an untuk manusia berlaku adil dan melakukan kebaikan.

Isu keganasan rumah tangga ini dapat diatasi jika seluruh masyarakat kembali kepada ajaran Allah di dalam Al-Qur’an. Setiap individu mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan seruan dan perintah Allah di  dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an kitab petunjuk dan solusi sepanjang zaman. 

Maka, penulis menyeru diri dan semua pembaca untuk kembali kepada cara hidup Islam yang mengajak kearah keharmonian, perpaduan, berkasih-sayang, hormat-menghormati dan berlaku adil sesama manusia.