Farhana membongkok untuk angkat kotak-kotak berisi barangan rumah. Dalam tempoh terhad separuh hari, kesemua proses pindah barang dari rumah lama ke rumah baru harus selesai. Setelah dua jam, dia mula mengusap bahagian belakang yang rasa sakit. Pindah rumah dalam keadaan tiada kenalan berkelapangan untuk tolong memang amat sulit.
Setelah selesai, Farhana cepat-cepat menuju restoran untuk dapatkan kembali tenaga, memulihkan segala rasa. Namun langkahnya terhenti tatkala terlihat kelibat teman sepejabatnya santai berborak di meja makan. Jantung Farhana berdegup kencang. Pelbagai fikiran menerjah.
“Ish dia ni. Dulu waktu dia nak pindah rumah, banyak dah saya tolong. Lori pun saya tolong sewakan, bukan guna duit dia. Sekarang saya susah, puas minta tolong dalam whatsapp group, dia tak nak tolong pun.” Farhana mengomel dalam hati.
Emosi marah, geram, merajuk dan macam-macam hadir dalam jiwa. Dia mahu melempiaskan rasa tidak puas hati dengan memarahi temannya itu. Namun, langkahnya terhenti. Ada satu potongan ayat Qur’an mengingatkannya lalu menjentik hati. Dia cepat-cepat beredar jauh daripada restoran tersebut sambil beristighfar.
“Sabar… sabar… Jangan sampai Allah s.w.t anggap kau kafir.”
***
Memberi kepada yang memerlukan dengan rezeki kurniaan Allah s.w.t seperti tenaga, masa dan harta adalah perbuatan terpuji. Malah harta yang diberikan akan diganjarkan berganda-ganda oleh Allah s.w.t.
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
Perumpamaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki , dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui. [Al Baqarah:261]
Ketika di dunia, jika harta disimpan dalam bank, yang memilikinya hanya dapat mengambil sejumlah yang sama dengan apa yang disimpan. Tiada penambahan beratus kali ganda. Sebaliknya jika harta dikeluarkan dan diberikan pada yang memerlukan, Allah yang Maha Luas akan melipatgandakan ganjarannya dengan nilai yang jauh lebih banyak. Meskipun seseorang itu bukan dalam kalangan orang berharta, namun sedikit harta yang diberikan pasti dihitung Allah s.w.t kerana Dia Maha Mengetahui segala apa yang hambaNya lakukan.
Ketika membelanjakan harta di jalan Allah s.w.t, beberapa panduan perlu dipenuhi. Antaranya adalah tidak mengiringi pemberian dengan mengungkit-ngungkit kebaikan serta menyakiti perasaan si penerima. Bahkan, tidak memberi lalu mengungkapkan kata-kata yang baik dan maaf itu lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakitkan.
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ٢٦٢ ۞قَوۡلٞ مَّعۡرُوفٞ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٞ مِّن صَدَقَةٖ يَتۡبَعُهَآ أَذٗىۗ وَٱللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٞ ٢٦٣
Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. [Al Baqarah:262-263]
Seorang yang memberi hartanya di jalan Allah s.w.t dan dia tidak mengiringi perbuatannya dengan menyebut-nyebut pemberian dan tidak menyakiti perasaan penerima, Allah s.w.t menjanjikan pahala di sisi Tuhan.
Frasa لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ menggambarkan ganjaran yang selamat tersedia di sisi Robb mereka. Di dunia, harta yang disimpan adakalanya membuat si pemilik rasa tidak selamat kerana khuatir dirompak atau musnah akibat bencana. Sebaliknya, jika si pemilik harta memilih menafkahkan sebahagian apa yang direzekikan oleh Allah s.w.t, ibarat dia menyimpan harta di sisi Allah s.w.t. Kelak di Hari Pembalasan, dia akan mendapat ganjaran yang bahkan berlipat kali ganda berbanding apa yang dibelanjakan.
Namun, jika pemberian (infaq) dilakukan tanpa memenuhi syaratnya, amal tersebut boleh jadi satu bentuk keingkaran (ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ )
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٢٦٤
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. [Al Baqarah:264]
Iman sebelum infaq.
Pernah kita melihat situasi seorang mengungkit-ngungkit pemberiannya terhadap seorang penerima? Boleh jadi ini disebabkan si penerima telah melakukan sesuatu yang tidak disukai si pemberi misalnya enggan membantu. Hal ini terlihat perkara biasa dalam masyarakat namun tidak disukai Allah s.w.t. Rupa-rupanya sikap sedemikian berpunca penyakit tidak beriman kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat.
Seseorang yang lemah iman kepada Allah s.w.t sulit merasakan cukup akan ganjaran Allah s.w.t lalu mengharap ganjaran manusia terutamanya daripada si penerima infaq. Lemahnya iman pada balasan kebaikan yang tidak terbatas pada Hari Akhirat juga membuatkan si pemberi infaq mengharap balasan daripada manusia. Akibatnya, jika si penerima tidak membalas kebaikannya dengan hulurkan bantuan atau mengikuti segala yang diingini si pemberi, pihak pemberi infaq rasa kecewa dan marah lalu cenderung mengungkit-ngungkit dan menyakiti hati.
Apa yang lebih menakutkan adalah jika tindakan memberi yang diiringi ungkit-mengungkit dan kata-kata menyakitkan hati adalah bentuk keingkaran (kekafiran). Ini kerana Allah s.w.t menutup ayat ini dengan وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ (Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir).
Hakikatnya, segala apa yang dimiliki manusia adalah rezeki daripada Allah s.w.t. Tiada satu pun pada diri kita adalah milik mutlak diri kita tetapi setiap satu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t kelak. Allah s.w.t memerintahkan kita untuk memberi atau menafkahkan apa yang telah Dia rezekikan kepada kita.
ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣
(iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. [Al Baqarah:3]
Tatkala si pemberi mengungkit-ngungkit dan menyakiti hati si penerima, si pemberi seolah-olah merasakan segala rezeki yang dimiliki adalah miliknya mutlak. Keengganan si penerima mengikuti kehendaknya setelah dia memberi bantuan dirasakan sulit diterima. Contoh peribadi sebegini nampak pada Fir’aun yang asalnya menguasai negara yang jadi sumber kehidupan kepada negara-negara sekeliling pada 7 tahun kemarau. Asalnya, kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. dalam mengurus perbendaharaan negara Mesir membuatkan negara tersebut selamat menghadapi musim kemarau bahkan mampu menyediakan sumber keperluan pada negara-negara sekeliling. Sikap ihsan Nabi Yusuf a.s dalam memberi tidak diteladani generasi pemimpin berikutnya. Sebaliknya, Fir’aun mengaku diri Tuhan dan mahu semua ikut kehendaknya. Hal ini pernah diingatkan seorang yang sembunyikan imannya kepada Firaun.
وَيَٰقَوۡمِ إِنِّيٓ أَخَافُ عَلَيۡكُمۡ يَوۡمَ ٱلتَّنَادِ ٣٢ يَوۡمَ تُوَلُّونَ مُدۡبِرِينَ مَا لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِنۡ عَاصِمٖۗ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنۡ هَادٖ ٣٣ وَلَقَدۡ جَآءَكُمۡ يُوسُفُ مِن قَبۡلُ بِٱلۡبَيِّنَٰتِ فَمَا زِلۡتُمۡ فِي شَكّٖ مِّمَّا جَآءَكُم بِهِۦۖ حَتَّىٰٓ إِذَا هَلَكَ قُلۡتُمۡ لَن يَبۡعَثَ ٱللَّهُ مِنۢ بَعۡدِهِۦ رَسُولٗاۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ مُّرۡتَابٌ ٣٤
Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan siksaan hari panggil-memanggil. (iaitu) hari (ketika) kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorangpun yang menyelamatkan kamu dari (azab) Allah, dan siapa yang disesatkan Allah, niscaya tidak ada baginya seorangpun yang akan memberi petunjuk. Dan sesungguhnya telah datang Yusuf kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan, tetapi kamu senantiasa dalam keraguan tentang apa yang dibawanya kepadamu, hingga ketika dia meninggal, kamu berkata: "Allah tidak akan mengirim seorang (rasul pun) sesudahnya. Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang melampaui batas dan ragu-ragu. [Ghafir:32-34]
Dapat kita perhatikan sikap Fir’aun yang mengungkit pemberiannya kepada Nabi Musa a.s. tatkala Nabi Musa a.s menyampaikan ayat-ayat Tuhan kepadanya. Seruan dakwah kebenaran Nabi Musa a.s yang tidak disukai Fir’aun membuatkan Fir’aun mengancam baginda secara halus.
فَأۡتِيَا فِرۡعَوۡنَ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولُ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦ أَنۡ أَرۡسِلۡ مَعَنَا بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ١٧ قَالَ أَلَمۡ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدٗا وَلَبِثۡتَ فِينَا مِنۡ عُمُرِكَ سِنِينَ ١٨
Maka datanglah kamu berdua kepada Fir’aun dan katakanlah olehmu: "Sesungguhnya Kami adalah Rasul Tuhan semesta alam, lepaskanlah Bani Israil (pergi) beserta kami".
Fir'aun menjawab: "Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. [Ash Shu'ara:16-18]
Pemberian yang tidak ikhlas ibarat “ada udang di sebalik batu” iaitu memberi dengan harapan pihak yang menerima kebaikan akan tunduk dan mengikut apa yang dikehendaki. Contoh Fir’aun adalah contoh infaq yang bawa pada keingkaran kerana Fir’aun mempertuhankan diri sendiri. Justeru bibit-bibit keingkaran ini haruslah dicantas pada peringkat awal dengan infaq secara ikhlas yang dipasak iman yang kuat kepada Allah s.w.t.
Teladan infaq orang beriman.
Orang yang beriman akan memberi dalam keadaan tidak merasakan pemberian itu adalah dari dirinya. Sebaliknya, dengan ilmu mengenal Allah s.w.t lalu beriman kepadaNya, seorang yang beriman akan memberi penuh percaya semuanya bersumberkan Dia. Hatinya tidak berasa riak sebaliknya takut-takut jika amal yang dilakukan tidak diterima Allah s.w.t.
وَٱلَّذِينَ يُؤۡتُونَ مَآ ءَاتَواْ وَّقُلُوبُهُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّهُمۡ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ رَٰجِعُونَ ٦٠ أُوْلَٰٓئِكَ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَهُمۡ لَهَا سَٰبِقُونَ ٦١
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (karena mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka, mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya. [Al Mukminun:60-61]
Bahkan, orang yang berbuat kebaikan (Al-Abrar) itu akan memberi tanpa mengharapkan balasan oleh si penerima. Keimanan kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat mencorakkan peribadi mereka yang suka memberi seterusnya hanya bergantung harap hanya pada Allah s.w.t.
وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسٗا قَمۡطَرِيرٗا ١٠
Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. [Al Insan 8-10]
Memberilah sebagai hamba yang beriman kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat.
Iman ibarat biji benih yang menumbuhkan pokok yang teguh dan menghasilkan buah bermanfaat kepada yang di sekeliling. Jika iman itu lemah, ibarat pokok yang tumbuh layu, gagal menghasilkan buah berkhasiat lalu tidak bermanfaat kepada yang di sekeliling.
Iman yang kuat akan menumbuhkan akhlak indah yang mengesakanNya. Sikap memberi tanpa mengharap balasan manusia lalu tidak mengungkit dan menyakiti hati penerima adalah satu bentuk mengesakan Allah s.w.t. Sebaliknya iman yang lemah menumbuhkan bibit-bibit keingkaran.
Justeru, memberilah.
Nafkahkanlah harta yang direzekikan Allah s.w.t dalam rangka beriman kepadaNya dan Hari Akhirat.