Bismillah.
Al-Qur’an merupakan kitab petunjuk. Petunjuk di dalam menjalani kehidupan. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 2
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ
2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Antara petunjuk yang dinyatakan Allah di dalam Al-Qur’an adalah mengenai ujian. Setiap individu yang diciptakan pasti diuji. Cuma, bentuk serta jenis ujian adalah berbeza bagi setiap individu. Allah berfirman Surah Al Mulk: Ayat 2
ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun.
Antara ujian di dalam kehidupan adalah ujian pernikahan. Setiap individu yang bernikah sudah pasti mengharapkan kebahagian sehingga ke akhir hayat serta ke syurga. Walaubagaimanapun, perceraian dibenarkan di dalam Islam jika mudharat lebih besar berlaku samada melibatkan agama, diri, harta serta keturunan jika pernikahan diteruskan.
Antaranya, Islam membenarkan perceraian jika adanya shiqaq (pertelingkahan yang berpanjangan) serta mudharat yang lebih besar jika pernikahan diteruskan. Contoh mudharat adalah seperti berlaku kes keganasan rumah tangga, individu tidak dibenarkan untuk menjalani kehidupan beragama selepas pernikahan.
Allah memberi petunjuk di dalam Surah An-Nisa: Ayat 34-35 berhubung shiqaq (pertelingkahan)
وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا
35. Dan jika kamu bimbangkan pertelingkahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan jika adanya pertelingkahan di antara suami atau isteri, perlunya melantik hakam atau orang tengah untuk melakukan proses islah (perbaikan) bagi tujuan pendamaian.
Namun, jika usaha perbaikan tidak berjaya, perceraian boleh dibenarkan. Di dalam konteks Malaysia, ada peruntukan perundangan yang membenarkan perceraian jika wujudnya shiqaq (pertelingkahan) serta adanya perceraian secara hakam.
Di dalam tulisan kali ini, akan dikongsikan antara beberapa hak isteri yang telah bercerai. Namun, tulisan ini adalah gambaran secara umum berhubung hak-hak isteri selepas perceraian.
1. Nafkah Eddah
Pertama adalah mendapat nafkah eddah. Nafkah eddah perlu diberikan oleh suami kepada isteri selama tempoh tiga bulan iaitu melibatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Namun, tempoh eddah akan berbeza mengikut keadaan isteri ketika perceraian. Misalnya jika perceraian berlaku ketika isteri tersebut sedang mengandung, tempoh eddah akan berakhir setelah isteri melahirkan anak.
2. Mut’ah
Mut’ah adalah satu pemberian saguhati oleh suami kepada isteri disebabkan perceraian.
Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 236
لَّا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِن طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ مَا لَمۡ تَمَسُّوهُنَّ أَوۡ تَفۡرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةٗۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى ٱلۡمُوسِعِ قَدَرُهُۥ وَعَلَى ٱلۡمُقۡتِرِ قَدَرُهُۥ مَتَٰعَۢا بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ
236. Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
3. Tunggakan Nafkah Isteri
Nafkah yang tidak dibayar oleh suami ketika di dalam tempoh pernikahan dan boleh dituntut di Mahkamah Syariah.
Nafkah isteri termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal secara asasnya.
4. Hadhanah/ Hak Jagaan Anak
Hak penjagaan anak boleh dituntut di Mahkamah Tinggi Syariah. Menurut hukum syarak dan perundangan, anak-anak yang dibawah umur.
Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (negeri selangor) 2003
Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Namun, beberapa syarat perlu dipenuhi untuk mendapat hadhanah.
Seksyen 83. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (negeri selangor) 2003 memperuntukkan Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan
Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika—
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Perceraian adalah hanya melibatkan pihak suami dan isteri. Maka, ikatan ibu dan bapa dengan anak-anak seharusnya dipelihara. Kepentingan dan kebajikan anak-anak perlu diberi perhatian dan keutamaan. Anak-anak seharusnya tidak perlu menjadi mangsa terhadap perceraian. Berdasarkan pengalaman penulis mengurus kes-kes hadhanah, jika perceraian tidak diuruskan secara baik, maka anak-anak akan menjadi mangsa keadaan dimana anak-anak ini cuba dipisahkan daripada bapa atau ibu.
5. Harta Sepencarian
Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh di dalam tempoh pernikahan. Mahkamah Tinggi Syariah akan menentukan bahagian suami dan isteri berdasarkan sumbangan langsung serta tidak langsung pihak-pihak.
6. Nafkah Anak
Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.
Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan berdasarkan keperluan anak dan kemampuan bapa.
Seksyen 73. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berhubung Kewajipan menanggung nafkah anak
(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
7. Hak Tempat Tinggal
Seseorang perempuan yang bercerai boleh tinggal di dalam rumah yang biasa dia tinggal ketika di dalam tempoh iddah.
Seksyen 72. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berhubung Hak tempat tinggal
(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.
(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) akan terhenti—
(a) jika tempoh ‘iddah telah tamat;
(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat;
(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula; atau
(d) jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.
Hak-hak wanita selepas perceraian ini datang dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Hak ini akan hilang jika dapat dibuktikan adanya faktor dimana kelakuan wanita yang bertentangan dengan hukum Syarak. Misalnya hak ibu terhadap hadhanah (hak jagaan anak) boleh hilang jika dapat dibuktikan di Mahkamah perempuan berkelakuan secara buruk dan terbuka, murtad, mencuaikan dan menganiayai anak-anak tersebut.
MashaAllah, namun jelas hak-hak wanita selepas perceraian ini menunjukkan bahawa betapa sempurnanya Islam dimana di dalam hal-hal perceraian perkara ini dijelaskan satu persatu. Maka Islam sebagai cara hidup perlu diperhatikan di dalam semua aspek samada di dalam pernikahan atau perceraian.
Maka, bagi masyarakat yang tidak diuji dengan perceraian, mari kita sama-sama mendoakan mereka yang diuji di dalam perhubungan ini diberi kekuatan melalui kehidupan mereka. Masyarakat yang bukan merupakan pihak-pihak di dalam pernikahan tidak mengetahui fakta yang benar. Maka, segala persepsi negatif terhadap perceraian ini perlu dihentikan.
Bagi individu yang diuji di dalam pernikahan, samada pihak isteri atau suami, bangkit meneruskan kehidupan dan melalui kehidupan dengan penuh kesyukuran. Ingat, nilai diri individu bukan ditentukan berdasarkan status, namun nilai taqwa disisi Allah. Maka, sayangi diri, teruskan kehidupan dengan bersandar kepada Allah dan melalui kehidupan mengikut panduan Al-Qur’an. Moga-moga perceraian atau ujian ini membawa individu semakin dekat kepada Allah dan petunjuk Al-Qur’an.
Allah berfirman di dalam Surah Al Hujurat: Ayat 13
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).