Kehadiran anak-anak di dalam sebuah perkahwinan adalah penyeri kepada rumah tangga tersebut. Kehadiran permata itu disambut dengan penuh kegembiraan. Azan dan iqamah menjadi ucapan pertama yang diperdengarkan di telinga mereka sebagai tanda menyambut mereka dengan kalimah tauhid. Lahirnya mereka di dunia ini, bermulah tanggungjawab seorang lelaki dan seorang perempuan sebagai ibu dan bapa kepada anak ini, dan semuanya bergantung kepada mereka untuk mencorakkan kain putih itu.
Tanggungjawab itu seharusnya digalas dengan baik dan dijalani dengan penuh amanah. Andai anak yang dibesarkan itu menjadi anak yang soleh atau solehah, maka kebaikan di dunia dan akhirat buat kedua ibubapanya. Andai sebaliknya yang berlaku, maka itulah ujian buat mereka. Bahkan di dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman bahawa bukan sahaja harta malahan anak-anak juga adalah ujian buat hamba-hamba-Nya:
إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيم
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
(Surah At-Taghaabun: 15)
Sekiranya diperhatikan dua ayat di atas, ianya menjadi gambaran bahawa anak-anak dan harta adalah fitnah buat ibu dan bapa. Fitnah di sini diterjemahkan sebagai satu ujian. Walaupun tidak dapat disangkal bahawa anak-anak, harta dan kelebihan-kelebihan lain di dunia ini seperti pangkat, kekuasaan dan sebagainya adalah nikmat yang diperolehi. Namun ianya, boleh menjadi satu ujian buat pemiliknya, seandainya amanah ini tidak digalas dengan baik. Bagaimana harta dan anak ini boleh menjadi ujian buat seseorang?
Seperti mana seseorang yang mempunyai harta yang banyak, diwajibkan ke atas mereka mengeluarkan zakat, namun apabila mereka tidak melakukannya, oleh kerana sayangkan harta dan takut harta mereka akan habis dan sebagainya maka itu adalah ujian buat mereka dan pemilikan harta itu menjadi ujian buat mereka. Begitu juga dengan anak, anak yang ramai dan berjaya di dunia, tetapi tidak mematuhi ajaran Allah SWT adalah ujian buat ibubapa mereka. Namun sekiranya anak tersebut berjaya di dunia, berkhidmat buat agama dan bangsa, dan menjadi anak yang menjaga akhlaknya maka kebaikan itu diperoleh oleh ibubapanya dan ini menunjukkan bahawa anak itu adalah nikmat dan anugerah buat mereka, penyeri di dunia dan penyelamat di akhirat.
Oleh itu, tanggungjawab ibu dan bapa adalah sangat besar dalam mendidik anak-anak agar menjadi hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh. Maka penulisan kali ini, kita akan sama-sama membincangkan berkaitan bagaimana al-Qur’an menjadi peringatan kepada ibubapa untuk mendidik dan mendoakan anak-anak mereka.
Usah Berbangga Dengan Banyaknya Harta & Ramainya Anak
Firman Allah SWT:
فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ
“Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).”
(Surah At-Taubah: 55)
Ayat di atas memberi gambaran bahawa sebahagian kaum munafikin mereka berbangga dengan anak yang ramai dan harta benda yang banyak. Orang-orang mukmin merasakan bahawa mereka itu dikasihi oleh Allah SWT dengan anak dan harta itu. Tetapi hakikatnya, Allah SWT menjelaskan melalui ayat ini bahawa mereka itu sedang diuji, dan kegagalan mereka di dalam ujian tersebut akan memberi pengakhiran yang tidak baik buat mereka iaitu mengheret mereka masuk ke dalam api neraka.
Pengajarannya buat kita, adalah anak yang ramai, harta yang banyak bukanlah satu kayu ukur untuk menentukan kejayaan seseorang di dunia ini. Malahan boleh jadi ianya menjadi ujian, seperti mana contohnya seseorang yang mempunyai ramainya anak, dan anak-anak tersebut semuanya berjaya dengan kerjaya dan latar belakang pendidikan yang baik di mata masyarakat. Namun begitu, anak-anak tersebut tidak menjalankan tanggungjawab kepada Allah SWT dengan baik, seperti melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, maka ianya tidak mendatangkan kebaikan buat ibubapa mereka di akhirat kelak.
Oleh itu, anak-anak dan harta adalah ujian buat ibubapa dan pemilik harta tersebut. Mereka akan diuji dan akan dipertanggungjawabkan di atas pemilikan ini di akhirat kelak. Namun begitu, adakah semua perkara ini tidak mempunyai nilai yang positif? Adakah kekayaan itu bukan suatu nikmat yang perlu dihargai? Dan bukankah anak itu satu anugerah dan rahmat buat hamba-hamba-Nya?
Sudah tentu ianya akan menjadi anugerah dan bahkan kekayaan dan kelebihan mempunyai anak yang ramai dalam sesebuah keluarga memberikan pahala buat pemiliknya seandai amanah ini diletakkan sesuai pada perintah-Nya. Seperti mana kekayaan yang dimiliki dibelanjakan pada jalan-Nya dan dikeluarkan zakat sesuai dengan kadar nisabnya. Anak yang ramai, bukan sahaja dididik sehingga berjaya di dunia dan membuahkan hasil kepada pangkat yang tinggi juga kemewahan hidup yang dimiliki tetapi juga akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Anak-anak ini juga bahkan ke mana sahaja mereka pergi, tanggungjawab terhadap Tuhan mereka tidak pernah sekali pun mereka culas untuk melaksanakannya. Maka sebagai ibubapa di era moden ini, mendidik anak sudah tentu bukan perkara yang mudah, mengurung mereka di rumah sudah tentu bukan jalan keluar kepada penyelesaian masalah dalam membendung anak-anak daripada masalah sosial. Tetapi, era digital yang luas ini sudah tentu menjadikan tanggungjawab ibubapa itu lebih besar dan berat dalam mendidik anak-anak, dan mengawasi mereka agar tidak tersasar.
Jalankan Tanggungjawab, Peliharalah Amanah
Sebagai ibubapa, sudah tentu tidak mudah mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Namun begitu, itulah hakikat yang harus dijalani dengan penuh tanggungjawab. Amanah itu juga harus dipelihara dengan sebaiknya. Maka dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak, ianya bermula daripada janin sehinggalah mereka dewasa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk melindungi nyawa dan keselamatan anak mereka. Perkara ini termasuklah, ibubapa dilarang sama sekali membunuh anak-anak mereka sekali pun ketika ia masih janin. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”
(Surah Al-Israa’: 31)
Selain itu, apabila lahirnya anak tersebut, maka hak seorang anak yang perlu dipenuhi oleh ibubapa mereka adalah mendapatkan nafkah, penjagaan yang sempurna, diberi kasih sayang, juga memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang baik. Pendidikan di sini pula bukan sahaja ilmu duniawi malahan ilmu yang melibatkan urusan akhirat iaitu ilmu agama. Perkara ini sangatlah penting, kerana didikan agama yang baik dan sempurna merupakan faktor kepada pembentukan akhlak yang baik dalam diri anak tersebut. Ibubapa juga perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.
Bagaimana seorang ibu atau bapa mengharapkan anak mereka solat lima waktu, menutup aurat dengan sempurna, dan mempamerkan akhlaq yang baik andai ianya tidak datang daripada mereka sendiri. Anak-anak tidak akan merasakan perkara itu penting dan perlu dipatuhi seandainya tiada contoh yang baik di hadapan mereka. Oleh itu, dalam menasihati dan menegah anak-anak, daripada melakukan sesuatu perkara yang mungkar, ibubapa perlu juga mengiringinya dengan contoh yang baik. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”
(Surah Al- Baqarah: 44)
Tambahan pula, sebagai ibubapa yang mengharapkan kebaikan buat anak-anak, memerlukan usaha mereka untuk memberikan perhatian, kasih sayang, serta meluangkan masa buat anak-anak mereka. Berikan perhatian kepada kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka tuju dan bersifat terbukalah untuk mendengar luahan anak-anak dan biarkan mereka berkongsi rasa suka dan duka yang mereka lalui. Binalah kepercayaan di antara hubungan kekeluargaan dan pupuklah rasa kasih dan sayang di antara satu sama lain dalam pembentukan baiti jannati (rumahku syurgaku).
Doa Para Nabi Buat Anak-Anak
Sebagai ibu dan bapa juga, doakanlah anak-anak kita. Doa ibubapa kepada anak-anak mereka untuk berjaya di dunia dan kejayaan di akhirat tiada hijabnya. Sabda Nabi Muhammad SAW:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
“Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Maka berdasarkan hadith ini mengajar kita, untuk sentiasa mendoakan anak-anak kita kerana doa ibubapa ini adalah antara doa yang mustajab. Pelajarilah daripada doa-doa para Nabi di dalam al-Qur’an dan doakan anak-anak dan zuriat keturunan kita seperti mana yang disenaraikan di bawah:
- Doakanlah anak-anak kita agar menjadi mereka yang rajin menunaikan ibadah solat seperti mana doa yang diajarkan melalui Surah Ibrahim ayat 40; “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
- Berdoalah agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menjadi Qurattul A’yun iaitu penyejuk hati apabila melihatnya, seperti mana doa yang diajarkan melalui Surah al-Furqan ayat 74; “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
- Doakanlah kita dikurniakan zuriat yang mentaati perintah Allah SWT, seperti mana yang disebutkan di dalam Surah al-Baqarah ayat 128; “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
- Jangan lupa selitkan di dalam doa kita agar dikurniakan zuriat yang baik seperti mana disebutkan di dalam Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah A-li ‘Imraan: 38)
Dan doakanlah juga anak-anak kita agar dikurniakan kebijaksanaan dalam ilmu-ilmu agama, dan menjadi ‘alim dalam ilmu-ilmu yang mereka pelajari agar mereka dapat menyampaikan hakikat kebenaran agama ini kepada insan di dunia ini. Doa ini, adalah doa yang dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali dengan Ibnu Abbas R.A., beliau merupakan pakar rujuk yang tersohor di dalam bidang hadith, tafsir dan feqah pada zaman beliau. Doanya adalah seperti berikut:
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”
Justeru, anak-anak adalah permata anugerah juga rahmat daripada Allah SWT buat kedua ibubapanya. Namun begitu, sebagai ibubapa perlu menjalankan tanggungjawab dalam menjaga, mendidik serta menyediakan keperluan anak-anak mereka. Keculasan dalam menjalankan tanggungjawab ini, akan memberikan kekurangan terhadap pembinaan insan yang bakal mewarisi generasi yang akan datang.
Seandainya kita diuji dengan kehadiran anak-anak yang tidak patuh dan taat akan perintah-Nya, itu bukanlah masa untuk merasakan penyesalan, tetapi teruskanlah usaha, jangan putus asa untuk menasihati, memujuk dan berdoa kepada Allah SWT agar mereka diberi hidayah dan taufiq, semoga ujian ini menemui titik penyelesaian.
Berusahalah sebaiknya dalam mendidik anak-anak kita agar menjadi insan yang soleh dan solehah, kerana itu bakal menjadi ‘hadiah’ terbaik buat orang tua mereka di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibubapanya”.
(Hadith Riwayat Bukhari)
Wallahu a’lam.