Di saat hati ini gundah, kecewa dan menemui jalan buntu, berdoa pada saat ini ditemani air mata yang berjurai di pipi dan pengharapan yang penuh terhadap Allah SWT, memohon pertolongan dan penyelesaian, akan memberi ketenangan kepada hati dan menaikkan semangat kembali. Entah dari mana motivasi itu datang, dengan menadah tangan, tangisan penuh pengharapan dan doa meminta kepada-Nya seperti semua masalah itu hampir menemui penyelesaiannya. Semua ini kerana keyakinan yang diletakkan seorang hamba kepada pencipta-Nya, Allah SWT. Bahkan Allah memujuk hamba-hamba-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Surah Ghaafir: 60)
Ayat di atas seperti satu pujukan Allah SWT kepada hambanya untuk berdoa meminta kepada-Nya. Bahkan Allah SWT menjanjikan bahawa Dia akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya. Dan sesungguhnya janji Allah SWT itu pasti. Ayat ini juga menjadi peringatan kepada hamba-hamba-Nya bahawa doa adalah amalan yang penting dalam agama Islam. Mereka yang tidak berdoa itu adalah mereka yang sombong kepada pencipta-Nya. Bahkan doa itu adalah ibadah, seperti mana dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW yang berkaitan dengan ayat di atas, sabda baginda SAW:
إِنَّ اَلدُّعَاءَ هُوَ اَلْعِبَادَةُ
“Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.”
(Hadith Riwayat at-Tirmizi)
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa berdoa kepada Allah SWT adalah sebahagian daripada ibadah, dan ibadah kepada Allah SWT itu adalah tujuan kehidupan manusia di dunia ini (Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56). Apabila manusia diuji dengan sesuatu kesusahan, lalu dia berdoa meminta pertolongan kepada Allah SWT, itu membuktikan kelemahan manusia itu sendiri dan pengakuan bahawa Allah Maha Berkuasa dalam memakbulkan segala doa dan permintaan mereka. Allah SWT juga Maha Mendengar dan Allah SWT sangat dekat dengan hamba-hamba-Nya, seperti mana firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
(Surah al-Baqarah: 186)
Doa adalah berasal daripada perkata bahasa arab yang membawa maksud memanggil, memohon dan meminta. Doa ini adalah cara seorang hamba untuk mengingati Allah dan memohon juga meminta kepada-Nya. Selain daripada ibadah solat yang dilakukan pada setiap hari, kita juga seharusnya memohon keampunan, petunjuk dan juga kekuatan kepada Allah SWT. Permohonan ini dibuat melalui doa yang kita lakukan pada setiap hari. Doa ini juga tidak terhad kepada seuatu perkara sahaja, malahan kita boleh meminta apa sahaja yang dihajati dan dalam bahasa apa pun kepada Allah SWT. Tambahan pula di dalam al-Qur’an dan hadith banyak doa-doa yang diajarkan kepada kita untuk diamalkan menunjukkan pentingnya doa hamba kepada Tuhan-Nya. Sekiranya doa ini penting, bagaimanakah cara yang paling terbaik untuk kita berdoa, agar permintaan ini dikabulkan oleh-Nya? Bagaimana sekiranya doa ini tidak diperkenankan? Jadi inilah perbincangan kita pada penulisan kali ini, berkongsi berkaitan doa sebagai esensi (unsur) ibadah dan juga pengharapan seorang hamba kepada Allah SWT.
Berdoa Dengan Penuh Pengharapan & Kerendahan Hati
Saban hari kita berdoa, meminta kepada-Nya, kadangkala kerana perasaan takut akan sesuatu yang menjalar dalam diri kita, kita mencari perlindungan daripada-Nya. Kadangkala kerana pengharapan akan sesuatu, kita menadah tangan memohon kepada-Nya agar dikabulkan permintaan itu. Kadangkala, terlalu gembira atas rezeki yang dikurniakan, kita turut berdoa menzahirkan rasa syukur kepada-Nya. Doa itu adalah pergantungan dan pengharapan sepenuhnya seorang hamba kepada Tuhan-Nya, dan ianya datang kerana takut, harap, syukur dan lain-lain. Ini kerana apabila kita berdoa, kita merendahkan hati kita sebagai hamba-Nya, meminta kepada-Nya dan menunjukkan kita memerlukan pertolongan-Nya. Oleh itu, saat berdoa kita seharusnya merendahkan diri juga hati kerana apa yang kita inginkan dan harapkan adalah pertolongan daripada Allah SWT. Andai kita inginkan pertolongan daripada manusia sekalipun, kita pasti memohon kepada mereka dengan kerendahan diri, suara yang lemah lembut dan bahasa yang indah. Apatah lagi sekiranya kita ingin memohon kepada Allah SWT, mintalah pertolongan daripada-Nya dengan kerendahan hati dan lemah lembut. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah Al-A’raaf: 55)
Beradablah dalam Meminta Kepada-Nya
Selain daripada menunjukkan kerendahan hati dan menggunakan suara yang lemah lembut, kita seharusnya menjaga adab-adab yang lain dalam berdoa kepada-Nya. Berdoa adalah perbuatan meminta kepada-Nya, sebagai hamba seharusnya kita menjaga adab dalam menzahirkan permintaan ini, antaranya adalah;
- Memulakan doa dengan memuji Allah SWT juga selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Pujilah Allah SWT dengan nama-nama-Nya yang mulia. Firman Allah SWT: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu…’ (Surah Al-A’raaf: 180)
- Perbanyakkanlah doa di waktu-waktu mustajab. Seperti saat beribadah di waktu satu pertiga malam, di antara waktu azan dan iqamah, ketika hujan turun, ketika waktu sedang bersujud di dalam solat, di antara dua khutbah ketika solat jumaat, di bulan Ramadhan, dan di hari Arafah. Ambillah peluang di saat-saat ini untuk memohon kepadanya.
- Menghadap kiblat dan mengangkat tangan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu Pemalu dan Pemurah Dia akan malu terhadap hamba-Nya bila ia mengangkat tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikannya dengan tangan kosong.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)
- Doa dengan penuh keyakinan, bahawa Allah SWT akan memakbulkan doa tersebut. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian yakin pasti akan dikabulkan.” (Hadith Riwayat Tirmizi)
- Doa dengan khusyuk dan penuh pengharapan. Firman Allah SWT: “…sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Surah Al-Anbiyaa’: 90)
- Tidak tergesa-gesa dalam berdoa agar doa tersebut dikabulkan. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Doa salah seorang di antara kalian pasti dikabulkan selama ia tidak tergesa-gesa. (Iaitu) orang tersebut berkata, ‘Aku telah berdoa kepada Rabbku, tetapi Dia tidak mengabulkannya untukku.’” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Andai Doa Tidak Dimakbulkan?
Janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah, teruskan berdoalah dan hindarilah diri daripada perbuatan yang boleh menghalang daripada doa kita dikabulkan oleh Allah SWT. Seperti menjauhkan diri daripada makan makanan yang haram, kerana makan daripada makanan yang haram akan menjadikan doa seseorang hamba tidak diterima oleh Allah SWT, seperti mana disebutkan di dalam sebuah hadith, telah bersabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan muslimin dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul. Firman Allah SWT: “Wahai para Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan beramallah dengan amalan soleh.” (Surah al-Mu’minuun: 51). Allah SWT juga berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…” (Surah al-Baqarah: 172). Kemudian Baginda menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan tangan ke langit sambil berdoa: “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” Sedangkan makanan, minuman dan pakaiannya adalah haram dan dia diberi makan dengan benda-benda yang haram bagaimanakah dikabulkan permintaanya.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Maka hindarilah diri daripada makan makanan yang haram juga melakukan perbuatan dosa dan maksiat agar doa yang kita panjatkan dikabulkan oleh Allah SWT. Bersabarlah sekiranya doa kita masih belum dimakbulkan, kerana Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Tambahan pula, selain daripada berdoa memohon kepada Allah SWT, kita seharusnya berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita hajati. Berusahalah sebaik mungkin mengikut kemampuan kita dalam mencapai sesuatu perkara yang kita inginkan. Allah SWT juga berfirman di dalam al-Qur’an:
إنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”
(Surah ar-Ra’d: 11)
Berdoalah kepada Allah SWT penuh pengharapan dan rasa takut kepadanya, contohilah para Nabi bagaimana mereka tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT dan terus berdoa. Contohilah Nabi Ayyub A.S. yang tidak putus berdoa agar Allah menyembuhkan derita penyakit yang dilaluinya, ambilah iktibar daripada kisah Nabi Yunus A.S. yang berdoa untuk kepada Allah SWT agar menyelamatkannya daripada musibah ketika berada di dalam perut ikan nun. Begitu jugalah dengan Nabi Zakaria A.S. yang tidak jemu berdoa agar dikurniakan zuriat kepadanya. Allah pasti mencintai mereka yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui jalan ibadah dan sentiasa menadah tangan merintih berdoa kepada-Nya. Jauhilah maksiat dan perbuatan dosa, berusahalah dalam menggapai sesuatu yang dihajati dan teruskanlah berdoa meminta kepada-Nya. Semoga apa yang anda semua hajati akan dipermudahkan dan dikabulkan hajatnya untuk kebaikan kehidupan di dunia dan di akhirat. Wallahu a’lam.