Cantiknya rama-rama kerana warnanya yang indah.

Manisnya lebah kerana madunya.

Bermanfaatnya lembu, kambing, dan kerbau  kerana  boleh dijadikan binatang qurban

Ayam dan ikan dihadirkan untuk manusia sebagai makanan

Unta dan kuda sebagai tunggangan

Setiap ciptaan Allah istimewa dengan setiap fungsi dan peranannya.

Guru mulia kerana mendidik anak bangsa.

Tukang sapu mulia kerana membersihkan. 

Ibu mulia kerana membesar, memberi kasih sayang dan mendidik.

Ayah mulia kerana menafkahi keluarga.

Anak mulia kerana berbakti.

Yang muda mulia kerana menghormati.

Yang tua mulia kerana menyayangi.

Maka, kamu adalah istimewa kerana kamu adalah kamu.

Dengan segala kelebihan dan kekurangan.

Tiada insan yang boleh menjadi kamu.

Maka, syukurilah kamu adalah kamu

Dengan segala kelebihan dan kekurangan.

Aku syukuri kehadiran setiap kamu untuk aku lebih mengenali diri ini.

Kamu, 

Berbahagialah kerana kamu adalah kamu. Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih mencipta kamu sebaik-baik kejadian.

Kamu adalah kamu kerana kamu sebaik-baik ciptaan Tuhan.

Surah At Tin: Ayat 4

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ  

4.  Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya

 

Kamu dianugerahkan akal untuk berfikir  dan merenung ayat-ayat Allah.

Diberi penglihatan yang celik untuk melihat dan merenung ciptaan Allah.

Pendengaran yang sempurna untuk memaknai setiap bunyi dan alunan.

Anggota badan yang sempurnanya sifatnya untuk menjalani kehidupan.

Maka, nikmatilah kehidupan ini dengan penuh kesyukuran.

Setiap detik dan sela masa perlu disyukuri.

Maka, kamu adalah kamu.

Syukuri setiap penciptaan dirimu. Tiada insan lain yang menyerupai kamu.

Kamu,

Satu kegagalan tidak menentukan siapa kamu.

Satu kesilapan jangan mematahkan semangat

Jangan berlama-lamaan dengan satu kekecewaan.

Maka, wahai sahabat bangkit

Bangkit untuk meneruskan kehidupan.

Melakukan perubahan dan transformasi

Kerana kamu adalah kamu.

Insan istimewa ciptaan Allah.

Jangan berputus asa dari rahmat Allah.

 

Surah Az Zumar: Ayat 53- ayat 55

۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ وَٱتَّبِعُوٓاْ أَحۡسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ بَغۡتَةٗ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ  

53.  Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri  janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

54.  "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

55.  "Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

Sahabat, ujian adalah lumrah kehidupan.

Surah Al-Mulk: Ayat 2

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ  

2.  Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

 

Jika aku dan kamu melakukan kesilapan, ayuh kita kembali kepada Allah dengan bertaubat dan berserah diri.

Kamu adalah kamu.

Aku adalah aku.

Kamu mempunyai kelebihan.

Begitu juga aku.

Maka, mari kita saling menguatkan dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Bukan saling melemahkan.

Kerana aku sangat memerlukan kamu di dalam kehidupan

Aku ingin belajar dari kamu.

Kerana aku dan kamu ditemukan untuk kita saling mengenali.

Kamu adalah kamu.

Kamu istimewa dengan segala kekurangan yang ada.

Begitu juga aku yang penuhi kekurangan.

Maka, sayangi diri kamu dengan segala kekurangan yang ada.

Setiap kekurangan itu menyedarkan posisi kita sebagai hamba Allah.

Namun, jangan lemah dengan kekurangan.

Syukuri ia.

Terima ia.

Belajar menerima kekurangan diri.

Jangan malu dengan kekurangan diri.

Namun, kita mampu untuk sama-sama memperbaiki kekurangan diri.

Kearah yang lebih baik.

Kerana kita saling melengkapkan.

Aku menerima kamu kerana kamu adalah kamu.

Maka, wahai kamu.

Ingat, tiada sesiapa yang boleh merampas istimewanya kamu kerana kamu adalah kamu.

Sebaik-baik ciptaan Allah.

Maka, mari kita sama-sama memperbaiki diri.

Dengan hanya menjadi hamba kepada Allah dan bukan yang lain.

Kembali kepada petunjuk Allah.

Mempelajari Al-Qur’an.

Surah Al-Baqarah: Ayat 2

ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ  

2.  Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

 

Melakukan perenungan terhadap ayat-ayat Allah.

Muhasabah diri atas setiap pilihan.

Kamu, satu pilihan yang kurang tepat.

Tidak menggambarkan siapa diri kamu.

Kerana kamu adalah kamu.

Aku adalah aku.

Kita manusia yang sering alpa dan leka.

Yang kadangkala tersilap di dalam percaturan.

Namun kamu dan aku masih boleh berubah.

Serta membuat pilihan yang lebih baik bagi masa hadapan.

Kamu adalah kamu.

Aku adalah aku.

Mari kita bersama-sama menyebarkan kebahagian kepada dunia.

Dimulakan dengan memberi kata-kata yang baik.

Menyampaikan kebenaran dari Tuhan.

Saling memotivasikan.

Saling menguatkan.

Saling memberi inspirasi.

Saling berkongsi rezeki.

Saling mendoakan.

Saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Saling memaafkan.

Saling menyebarkan kasih sayang.

Kerana hidup ini begitu singkat.

Untuk menyebarkan kedengkian dan kebencian.

Menyemarakkan persengketaan.

Maka, penuhi setiap waktu

Dengan kesempatan untuk melakukan kebaikan,

Di setiap ruang dan peluang anugerah Allah.

Maka, ingat kamu adalah kamu.

Kamu sebaik-baik ciptaan Allah.

Ingat itu.

Mesej penting dari Allah.

Aku syukuri kehadiran kamu di dalam kehidupan.

Kerana aku lebih kenal siapa diriku.

Aku sentiasa ada mendoakan kamu.