Bismillah.

Di dalam hidup ini, kita sering tercari-cari formula untuk berjaya. Setiap individu, ada definisi kejayaannya. Misalnya, A menyatakan orang berjaya adalah yang menjadi jutawan. B pula menyatakan orang berjaya adalah yang mempunyai keluarga bahagia, pasangan yang memenuhi citarasa dan anak-anak yang berjaya di dalam akademik. C pula menyatakan golongan berjaya adalah yang mempunyai perniagaan berkembang dan pengikut yang ramai serta menjadi orang terkenal. Definisi berjaya mengikut individu sudah pasti pelbagai dan berbeza mengikut kefahaman masing-masing. Maka, mari kita meneliti, siapakah orang berjaya yang Allah endorskan di dalam Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah An Naba: Ayat 31

إِنَّ لِلۡمُتَّقِينَ مَفَازًا  

31.  Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, mendapat kemenangan

Allah menyatakan orang bertaqwa mendapat kemenangan. Penggunaan lafaz إِنَّ  menunjukkan satu penegasan di dalam bahasa Arab. Maka, orang bertaqwa adalah orang yang pasti berjaya kerana mendapat kemenangan.

Sudah pasti di dalam kehidupan ini, kita sangat menginginkan kemenangan dan kejayaan. Adakah kita mempunyai satu keyakinan bahawa dengan berusaha menjadi orang bertaqwa, kita akan mendapat kemenangan dan seterusnya menjadi orang yang berjaya. Di dalam meneruskan misi menjadi hamba Allah yang bertaqwa, kita perlu memerhatikan apakah halangan-halangan yang menjauhkan kita mendapat darjat muttaqin (orang-orang yang bertaqwa).

Persoalannya sekarang, apakah halangan-halangan yang perlu kita uruskan untuk menjadi orang-orang bertaqwa.

Antaranya yang pertama, adalah hawa nafsu dan syahwat yang tidak dipandu petunjuk. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran: Ayat 14

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَ‍َٔابِ  

14.  Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kecintaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Setiap manusia secara fitrah mempunyai hawa nafsu. Namun, hawa nafsu perlu diuruskan dengan petunjuk Al-Qur’an. Misalnya, harta yang direzekikan Allah perlu disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.

Menarik, surah Al Imran ayat 14 menyatakan enam jenis kecintaan yang sangat didambakan setiap manusia. Namun, Ma Shaa Allah, bagi individu yang boleh menguruskan kecintaan tersebut dengan petunjuk Allah seterusnya mendapat darjat muttaqin (orang-orang bertaqwa), Allah menjanjikan tiga kenikmatan kekal yang memenuhi aspek fizikal, intelektual, emosi, spiritual dan keimanan di akhirat kelak.

Sebagaimana janji Allah di dalam Surah Al-Imran: Ayat 15 kepada orang-orang bertaqwa.

۞قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٖ مِّن ذَٰلِكُمۡۖ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٰجٞ مُّطَهَّرَةٞ وَرِضۡوَٰنٞ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ  

15.  Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

 

Ma sha Allah, janji Allah di dalam Surah Al-Imran: Ayat 15 begitu mengasyikkan bagi individu-individu yang mendapat gelaran muttaqin (orang-orang bertaqwa). Janji Allah diatas kenikmatan yang kekal di akhirat bagi orang bertaqwa. 

Kedua, antara halangan menjadi orang bertaqwa adalah apabila menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan. Perkara ini amat menggerunkan. Bagaimana individu boleh menuhankan hawa nafsu. Allah berfirman di dalam Surah Al-Jathiyah: Ayat 23

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ  

23.  Pernahkah kamu melihat  orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan Allah membiarkannya sesat dalam pengetahuannya dan Allah mengunci pendengarannya dan hatinya, serta meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang mampu petunjuk kepadanya sesudah itu ? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran.

Contohnya, individu yang mengikut bisikan hawa nafsu atau bisikan syaitan melakukan kemaksiatan dan dosa samada melibatkan dosa peribadi atau masyarakat. Di dalam konteks lebih luas mempromosi ajaran-ajaran yang menyeleweng, menyeru masyarakat meninggalkan petunjuk. Ideologi-ideologi serta pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Peringatan Allah di dalam Surah Al-Jathiyah: Ayat 23 ini juga merupakan peringatan penting kepada diri ini untuk melakukan proses muhasabah diri bahawa setiap tindakan atau perlakuan harus didasari atas petunjuk Allah.

Ketiga, faktor yang menghalang menjadi orang bertaqwa adalah meninggalkan Al-Qur’ an di dalam kehidupan. Allah berfirman di dalam Surah Al-Zukhruf: Ayat 36

وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ  

36.  Dan barangsiapa yang berpaling dari pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami biarkan Syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.

Ya Allah, bayangkan syaitan menjadi penasihat kita dan teman karib. Sudah pasti yang diserunya adalah jalan kesesatan. Maka, betapa pentingya untuk setiap diri berpegang teguh kepada Al-Qur’an supaya tidak disesatkan oleh syaitan.

Syaitan adalah musuh utama kita. Syaitan tidak akan berhenti didalam misinya sehingga ia berjaya menyesatkan umat manusia. Maka, kita perlu bersiap sedia berpegang teguh kepada AL-Qur’an.

Orang bertaqwa sahaja tidak akan disesatkan oleh syaitan kerana orang bertaqwa akan sentiasa memastikan dirinya mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Allah di dalam Al-Qur’an.

Di atas adalah antara halangan-halangan untuk menjadi orang bertaqwa. Ia lebih berkait dengan perkara yang melibatkan diri kita dan pilihan-pilihan kita di dalam kehidupan. 

Mengapa kita perlu melihat halangan-halangan ini? Supaya kita boleh melakukan proses muhasabah diri dan menguruskan halangan-halangan tersebut.

Maka, mari kita merenung apa tindakan-tindakan yang boleh kita lakukan untuk mendapat darjat muttaqin (orang-orang bertaqwa).

Sebagaimana penulisan di dalam artikel pertama, syarat menjadi orang bertaqwa adalah dimulakan dengan ilmu dan tiada keraguan berhubung petunjuk. Kita perlu menelusuri setiap ayat di dalam Al-Qur’an yang menyentuh perkataan taqwa supaya kita mendapat satu pemahaman secara global tentang taqwa. Perkataan taqwa disebut 242 kali di dalam Al-Qur’an pada 61 surah. Ma sha Allah, sudah pasti ada perkara penting yang Allah ingin sampaikan kepada kita.

Pertama, melakukan proses tadabbur Al-Qur’an tentang ayat-ayat berkisar taqwa.

Misalnya, surah Al-Baqarah: Ayat 177

۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ  

177.  kebaikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu  ke arah timur dan  ke arah barat, tetapi kebaikan itu ialah beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan para malaikat, dan  Kitab-kitab, dan  Nabi-nabi; dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang  dalam perjalanan, peminta sedekah, dan untuk memerdekakan hamba-hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan mengeluarkan zakat; orang-orang yang menepati janji apabila berjanji; dan orang-orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan ketika peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah  orang-orang yang bertaqwa.

 

Ma sha Allah, jika kita melakukan perenungan di dalam ayat di atas, kita dapat melihat perkataan “birr” / kebaikan yang dikaitkan dengan orang yang benar keimanannya dan merupakan orang bertaqwa.

Ayat di atas dimulakan dengan keimanan kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan para Nabi. Bukti keimanan dapat diterjemahkan di dalam perbuatan. SubhanaAllah.

Keimanan dan ketaqwaan perlu dibuktikan dengan memberi harta kepada golongan yang dinyatakan, seterusnya adanya pembuktian melalui ibadah solat dan zakat. Namun, ia tidak terhenti disitu. Taqwa juga dapat dilihat apabila individu yang menepati janji serta sabar di dalam ujian. Ma sha Allah, sesuatu yang perlu dimuhasabahkan buat diri ini. 

Seterusnya, mari kita meneliti Surah Al Imran: Ayat 133-136

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ  

133.  Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapatkan Syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

134.  Iaitu orang-orang yang berinfak pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.

135.  Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada  peringatan Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa selain Allah -, dan mereka  tidak meneruskan perbuatan dosa sedang mereka mengetahui.

136.  Balasan bagi mereka ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya  sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala (bagi) orang-orang yang beramal.

 

Ma Shaa Allah, ayat diatas dimulakan dengan perintah bersegera untuk mencari keampunan Allah dan janji Allah kepada orang bertaqwa. Jika kita merenung ayat 134 dan 135 Surah Al-Imran, ia menerangkan tentang ciri-ciri orang bertaqwa.

  1. Berinfaq ketika lapang mahupun sempit;
  2. Menahan kemarahan;
  3. Memaafkan kesalahan orang lain;
  4. Segera mengingat peringatan Allah dan memohon keampunan Allah apabila melakukan dosa

SubhanaAllah, taqwa di dalam ayat ini dikaitkan dengan interaksi sosial kita dengan orang lain. Definisi taqwa yang lebih luas dan tidak terhad kepada ibadah individu seperti solat, berzikir dan berpuasa sahaja. Ma Shaa Allah, orang yang ketika kesusahan menyahut seruan infaq adalah orang bertaqwa. Orang yang ketika kemarahan berada dipuncak dan ingin dilepaskan, namun menahan marah kerana Allah adalah orang bertaqwa. Orang yang mampu memaafkan kesalahan orang lain , namun ia memaafkan kerana Allah adalah orang bertaqwa. Orang yang tersasar mengikut bisikan syaitan dan hawa nafsu, namun segera mengingat peringatan Allah dan memohon keampunan adalah orang bertaqwa.

Ayat-ayat diatas menjadi satu petunjuk kita untuk mempraktikkan taqwa di dalam kehidupan inshaAllah.

Maka, perlunya kita melakukan perenungan terhadap ayat-ayat Al-Qur’an tentang taqwa untuk menjiwai makna taqwa menurut perspektif Al-Qur’an.

SubhanaAllah, darjat taqwa ini boleh dikejar oleh setiap individu tanpa mengira status, latar belakang, bangsa mahupun status sosial.

Setiap dari kita mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan gelaran taqwa.Maka, mari kita sama-sama melakukan refleksi dan muhasabah sejauh mana kita memaknai erti taqwa di dalam kehidupan.

Adakah kita telah memenuhi prasyarat untuk menjadi hamba yang bertaqwa disisi Allah?

Adakah kita meyakini bahawa interaksi yang intim dengan Al-Qur’an merupakan prasyarat utama untuk menjadi hamba bertaqwa?

Apa perkara yang sanggup kita korbankan untuk menjadi hamba bertaqwa?

Walaupun yang hilang dalam diri ini adalah taqwa, namun harapan sentiasa ada. Apabila kita kembali kepada petunjuk Allah. Kita melakukan proses tadabbur Al-Qur’an, tafakkur alam (perenungan terhadap ciptaan-ciptaan Allah) dan tazakkur (mengambil pelajaran) di dalam apa yang berlaku di dalam setiap sisi kehidupan.

Bagi penulis, menjadi orang bertaqwa adalah satu perjuangan di dalam kehidupan. Mari kita bersama-sama di dalam perjuangan ini.

Ia bermula dengan pilihan-pilihan kita dari sekecil-sekecil perkara sehingga sebesar-sebesar perkara.

Individu yang menyedari bahawa Allah sentiasa memerhati samada ketika sendiri dan di khalayak ramai. Memaknai firman Allah di dalam Surah Al Hadid: Ayat 4

وَهُوَ مَعَكُمۡ أَيۡنَ مَا كُنتُمۡۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ  

Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.