Ketika lampu terpadam, manusia yang hebat terus menjadi lemah. Segala anggota badan boleh hilang fungsi tanpa cahaya yang membantu retina mata menanggap sebarang objek. Itulah hakikat manusia yang sangat lemah. Allah menyinggung perihal ni’mat cahaya agar manusia berfikir dalam firmanNya:
قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ اللَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَاءٍ أَفَلَا تَسْمَعُونَ
Ertinya: Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah selain Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)? (al-Qasas[28:71]).
Subhanallah! Luas sekali bicara al-Quran tentang cahaya. Ia tidak terhenti hanya pada cahaya fizikal, tetapi turut menyentuh cahaya yang lebih utama dan penting iaitu cahaya iman. Apabila cahaya iman bersinar dalam jiwa seseorang, hidupnya akan terurus berkat suluhan cahaya ini. Apa yang pasti cahaya ini adalah anugerah Allah kepada hambaNya yang berpegang teguh pada Islam. Firman Allah:
أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِنْ رَبِّهِ فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Ertinya: Jika demikian, ADAKAH ORANG YANG TELAH DILAPANGKAN ALLAH DADANYA UNTUK MENERIMA ISLAM, LALU DIA TETAP BERADA DALAM CAHAYA (HIDAYAH PETUNJUK) DARI TUHANNYA, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata (al-Zumar [39:22]).
Ia juga diulang sebut dalam firman lain:
أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan KAMI JADIKAN BAGINYA CAHAYA (IMAN) YANG MENERANGI (SEHINGGA DAPATLAH IA MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN DAPATLAH) IA BERJALAN DENGAN SULUHAN CAHAYA ITU DALAM MASYARAKAT MANUSIA, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat) (al-An’am [6:122]).
Menurut para ulama Tafsir, ayat 122 surah al-An’am ini diturunkan setelah pengislaman Sayyidina ‘Umar al-Khattab (Tafsir al-Tabari). Jika ‘Umar adalah individu yang dikaitkan dengan ayat ini, bererti beliau dianugerahkan “CAHAYA UNTUK BERJALAN” dan membimbing masyarakat. Saya setuju dengan kenyataan ini kerana beliau dipuji khusus oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith sebagai orang yang benar firasatnya:
لَقَدْ كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ رِجَالٌ يُكَلَّمُونَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونُوا أَنْبِيَاءَ فَإِنْ يَكُنْ مِنْ أُمَّتِي مِنْهُمْ أَحَدٌ فَعُمَرُ
Ertinya: Sesungguhnya dalam kalangan umat lampau dari Bani Isra’il ada orang yang berbicara dengan (firasat yang) benar walaupun mereka itu bukan para nabi. Jika ada yang memiliki sifat sedemikian dalam kalangan umatku, maka dia adalah ‘Umar (Sahih al-Bukhari).
Kita mungkin terfikir, bagaimana manusia biasa seperti ‘Umar, orang soleh atau para ulama ummah sejak zaman berzaman mampu memiliki cahaya yang begitu ekslusif ini? Pandangan mereka seakan tembus mencecah yang rumit dan tidak mampu dilihat oleh manusia biasa. Apa rahsia mereka? Apa amalan zikir atau doa mereka? Apa makanan mereka? Adakah mereka mengamalkan air jampi atau makanan Sunnah? Setelah diteliti, petua utama yang mereka amalkan adalah menghayati Islam dengan sepenuh jiwa. Keikhlasan inilah membuahkan cahaya iman yang terang benderang bak sinar mentari di tengahari. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآَمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TETAPLAH BERIMAN KEPADA RASULNYA (MUHAMMAD), SUPAYA ALLAH MEMBERI KEPADA KAMU DUA BAHAGIAN DARI RAHMATNYA, DAN MENJADIKAN BAGI KAMU CAHAYA UNTUK KAMU BERJALAN DENGANNYA (di dunia dan pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Hadid [57:28]).
Bukan setakat itu, Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kita semua agar dianugerahi “CAHAYA” ini dalam setiap penjuru hidup kita. Ibnu ‘Abbas yang ketika kecilnya pernah tidur bersama Rasulullah SAW melaporkan bagaimana baginda bangun solat malam sebanyak 13 rakaat dan berdoa dengan doa ini:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورًا
Ertinya: Ya Allah! Jadikan dalam hatiku, penglihatanku dan pendengaranku cahaya. Jadikan juga dari kananku, kiriku, atasku, bawahku, depanku dan belakangku cahaya. Dan besarkan cahaya ini pada diriku (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Ayuhlah kita berusaha dan berdoa agar cahaya ini menjadi milik kita. Jangan jadi seperti ramai manusia yang celik mata zahirnya tapi kelabu atau gelap mata hatinya sehingga tidak mampu melihat sinaran cahaya ini yang sudah sekian lama terpamer di depan mata. Jadikan ayat ini sebagai penanda aras sejauh mana cahaya ini sudah menyirami dan melapangkan jiwa kita:
فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman (al-An’am [6:125]).
Jika mesej Islam berjaya menarik minat dan melapangkan jiwa kita, itu petanda baik cahaya ini sudah mulai menyirami jiwa kita. Sebaliknya jika hati kita menjadi sesak, resah dan cemuh mendengar mesej Islam, “AWAS!” cahaya ini masih jauh dari kita. Jika ia berlaku, segeralah cuci kanta mata hati kita sebelum ia semakin kelam dan gelap. Mohon dijauhkan Allah!