Alhamdulillah… Kita telah sama-sama melalui 30 hari Ramadan, dipenuhinya dengan pelbagai ibadah hanyalah untuk mencapai redha Allah. Kini syawal tiba memberikan kegembiraan kepada umat Islam untuk diraikan. Dalam menyambut kegembiraan tersebut di samping saling menyambungkan silaturrahim sesama kita, janganlah kita lupakan pecutan ibadah yang telah kita lakukan. Ramadan yang dilalui biarlah ianya menjadi medan latihan dan pembentukan untuk kita menjadi insan yang lebih baik dalam amal dan ibadah. Oleh itu, dalam menempuhi 11 bulan yang mendatang sebelum kita bertemu dengan Ramadan yang seterusnya, tingkatkan kebaikan yang telah kita usahakan, teruskan istiqamah dalam ibadah yang telah kita perjuangkan agar kita dapat mengekalkan ketaqwaan, juga setiap amalan ibadah yang kita lakukan hanyalah untuk-Nya. Bahkan bulan Ramadan yang dilalui itu sendiri adalah untuk mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 183)
Firman Allah ini menjelaskan kepada kita, berpuasa adalah untuk mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa. Oleh itu, Ramahan yang dilalui dengan penuh barakah telah menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa tetapi apa yang dimaksudkan taqwa itu, bagaimana dikatakan taqwa? Bagaimanakah kita ingin meneruskan sifat taqwa dalam diri kita pada 11 bulan yang akan mendatang ini? Jadi penulisan kali ini kita akan sama-sama membincangkan konsep taqwa untuk kita sama-sama fahami dan amalkan.
Taqwa Takut atau Taat?
Taqwa adalah mencegah diri dari hal yang tidak disukai. Taqwa ini sering dijelaskan dengan sifat takut kepada Allah. Namun begitu, sifat takut kepada Allah ini tidak sama seperti takutnya manusia kepada sesuatu perkara atau perbuatan. Tetapi takut kepada Allah SWT akan mencegah manusia daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan menunaikan segala perintah-Nya. Oleh itu, taqwa adalah kehadiran rasa takut dan sifat taat, kerana takutkan Allah, manusia taat kepada perintah-Nya dan mencegah diri mereka daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, taqwa bukan sekadar takut kepada Allah SWT, tetapi adalah mencegah diri daripada melakukan perkara yang dilarang serta ketaatan hamba kepada perintah-Nya. Justeru, berdasarkan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Surah A-li ‘Imraan: 102)
Ramadan Mendidik Ketaqwaan
Berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 183 di atas, menjelaskan kepada kita tujuan ibadah berpuasa itu sendiri iaitu mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa. Berpuasa adalah latihan kepada ketaqwaan kita. Apabila kita berpuasa, kita menahan diri kita daripada makan dan minum. Walaupun tubuh badan kita kadang kala tidak mampu menahannya, tetapi kerana ketaatan kita kepada perintah Allah SWT, kita menahan diri kita dari terbit fajar hingga terbenam matahari daripada memenuhi keperluan tubuh badan itu. Dengan menjauhkan diri daripada makanan dan minuman yang halal dan juga keperluan untuk tubuh kita, kita membina kekuatan yang kita perlukan untuk menjauhkan diri dari perkara yang haram. Dengan menjauhkan diri daripada apa yang halal dan berhati-hati terhadap perkara yang haram di bulan Ramadan yang lalu, kita dapat mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Setelah bulan Ramadan melabuhkan tirainya, tibalah Syawal yang mendatang, yang mana disunatkan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Kejarlah ganjaran puasa di bulan tersebut. Dengan berpuasa di luar bulan Ramadan ini, lebih dapat mendidik ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Perkara ini akan membuatkan kita lebih berhati-hati daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT ketika sedang berpuasa. Maka latihlah diri kita dengan memperbanyakkan berpuasa sunat, agar kita menjadi insan yang bertaqwa.
Pakaian Terbaik Adalah…
Firman Allah SWT:
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَٰرِى سَوْءَٰتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya…
(Surah Al-A’raaf: 26)
Dalam Al-Qur’an, Allah SWT berfirman bahawa sebaik-baik pakaian adalah taqwa. Apa yang dimaksudkan dengan pakaian taqwa? Pakaian yang kita gunakan adalah untuk menutup aurat, memberikan kecantikan, dan menjadi perhiasan. Manusia menggunakan pakaian yang menarik dan berhias dengan pakaian mereka, pakaian juga melambangkan ciri-ciri individu tersebut. Oleh itu, berdasarkan firman Allah SWT ini, Allah menjelaskan berkaitan pakaian yang menutup aurat, serta perhiasan kepada manusia. Bahkan ayat ini juga menjelaskan bahawa sebaik-baik pakaian adalah taqwa. Taqwa menjadi pelindung dan juga perhiasan kepada mereka yang beriman kepada Allah SWT. Taqwa melindungi hamba-hamba Allah yang beriman dan beramal soleh daripada segala perbuatan yang keji dan mencantikkan hamba-Nya dengan cahaya keimanan. Oleh itu, hiasilah diri kita dengan pakaian taqwa melalui amalan ibadah dan tindakan dalam kehidupan.
Taqwa menjadikan seseorang melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala perkara yang dilarang, juga berusaha mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui amalan sunat. Al-Qur’an juga menjelaskan bahawa kepentingan taqwa akan menjadi hamba yang mulia di sisi Allah SWT. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:
… Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujuraat: 13)
Oleh itu, semoga Ramadan yang telah kita lalui menjadikan kita mencapai cinta Allah SWT, juga mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, tidak kira ibadah apa pun yang dilakukan, semoga ianya mengarahkan kita untuk mencapai redha Allah dan menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim (Semoga Allah Menerima (Puasa dan Amal) Dari Kami dan (Puasa Dan Amal) Dari Kalian). Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Wallahu a’lam.