Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar.
Lafaz takbir yang diucapkan melambangkan kemenangan apabila mampu mengagungkan Allah di atas petunjukNya.
Setelah sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta menahan hawa nafsu daripada melakukan dosa dan maksiat, itu merupakan satu kemenangan apabila mampu mendahulukan Allah dari yang lain. Mampu mendahulukan petunjuk Allah dari sumber yang lain di dalam kehidupan. Beriman dan menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk, penjelasan dan furqan (pembeza antara hak dan bathil) di dalam kehidupan.
Diri fitrah diri yang suci yang berjaya mengikuti petunjuk Al-Qur’an di dalam kehidupan. Diri fitrah adalah diri yang kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali dan bergantung kepada Allah didalam kehidupan. Diri yang menjadi hamba yang bertaqwa, hamba yang bersyukur dan hamba yang menjalani kehidupan di atas kebenaran. Di dalam Surah Al-Rum: Ayat 30
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ
30. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah agama yang hanif , fitrah Allah yang dia telah menciptakan manusia. Tidaklah ada perubahan pada ciptaan Allah itu; iaitu agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Surah Ar Rum: Ayat 30, Allah mengaitkan perkataan fitrah dengan Allah iaitu sifat Allah yang telah melakukan penciptaan manusia.
Aidilfitri yang bermakna adalah apabila setiap individu kembali menjadi diri fitrah yang diciptakan oleh Allah. Diri yang memfungsikan tujuan ia diciptakan di dunia. Pertama hanya mengabdikan diri kepada Allah. Surah Al-Dzariyat : Ayat 56
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Diri fitrah adalah diri yang mengabdikan diri hanya kepada Allah. Memberi seluruh ketaatan hanya kepada perintah Allah dan mengagungkan Allah di atas petunjukNya. Pengabdian yang diberikan jelas kerana mempunyai ilmu yang benar, atas keimanan dan keyakinan.
Diri fitrah yang istiqamah diatas ketaatan kerana kejelasan tujuan di dalam kehidupan. Diri yang melakukan sesuatu kerana mentaati setiap perintah Allah di dalam Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah Al-Ahqaf: Ayat 13
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
13. Sesungguhnya orang-orang berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa kebimbangan kepada mereka dan mereka tidak bersedih hati.
Diri yang terus istiqamah melakukan ketaatan dan amal soleh walaupun Ramadhan telah berakhir. Diri yang berusaha untuk meneruskan proses pembelajaran Al-Qur’an dan meningkatkan kualiti di dalam melakukan amal soleh.
Bayangkan jika pengabdian bukan kepada Allah, ia adalah pengabdian terhadap selain Allah samada hawa nafsu diri atau hawa nafsu orang lain serta perkara-perkara lain. Pengabdian yang benar hanya boleh dilakukan setelah individu mempunyai ilmu yang benar di dalam Al-Qur’an.
Kedua, menjadi diri fitrah adalah dengan memfungsikan peranan sebagai khalifah. Al-Baqarah: Ayat 30
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
30. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Ar-Raghib Al-Asfahani di dalam Kamus Al-Qur’an, menyatakan fitrah dari Allah adalah potensi yang diletakkan Allah pada diri manusia untuk beriman kepadaNya.
Khalifah atau pemimpin adalah individu yang mentadbir bumi untuk memberi keamanan kepada masyarakat sekeliling. Individu yang berperanan sebagai pemimpin akan mempunyai karakter qur’ani yang memberi manfaat kepada masyarakat. Diri fitrah adalah diri yang memberi keamanan kepada individu yang disekelilingnya, Antaranya adalah sifat empati yang tinggi kepada sekeliling, membantu fakir miskin, mempunyai sifat ihsan yang tinggi kepada yang lain. Ini antara ciri-ciri individu yang kembali kepada diri fitrah. Diri fitrah adalah diri yang menyebarkan kebaikan.
Diri fitrah juga boleh diukur berdasarkan keadaan fizikal, intelektual, emosi , kejiwaan dan keimanan. Pertama, dari aspek fizikal dapat dilihat dengan ketaatan melalui amal soleh yang dilakukan seperti perintah Allah di dalam Al-Qur’an. Antaranya mempelajari Al-Qur’an, bersedekah kepada fakir miskin, berbakti kepada ibu bapa dan tidak melakukan kezaliman kepada individu lain.
Kedua, aspek intelektual pula dapat dilihat dengan peningkatan ilmu dari sudut kefahaman beragama. Akal yang dipandu wahyu di dalam membuat pilihan-pilihan di dalam kehidupan. Proses pembelajaran Al-Qur’an yang berterusan.
Seterusnya diri fitrah daripada aspek emosi dapat diterjemahkan antaranya dengan meningkatkan nilai kesyukuran atas setiap nikmat anugerah Allah terutamanya nikmat petunjuk. MashaAllah, emosi yang diuruskan secara baik apabila individu mempunyai interaksi yang intim dengan Al-Qur’an. Individu yang membuat pilihan secara sedar dalam memberi maklum balas terhadap sesuatu isu.
Ketiga, aspek kejiwaan yang terbangun dengan petunjuk Al-Qur’an. Jiwa yang teguh serta tidak rapuh terhadap ujian. Jiwa yang sentiasa mencintai Allah dan mencintai Al-Qur’an. SubhanAllah, bayangkan jika setiap jiwa individu ini terbangun dengan Al-Qur’an, sudah pasti kekuatan yang menggerakkan untuk beramal soleh dan menyebarkan kebaikan.
Keempat, daripada aspek keimanan. Diri fitrah ini dapat diusahakan dengan peningkatan iman. Keimanan boleh dibentuk bermula dengan ilmu yang benar, kefahaman yang jelas dan proses pembelajaran berterusan yang seterusnya membuahkan amal soleh.
MashaAllah, Aidilfitri mengingatkan kita untuk merenung kembali tujuan penciptaan kita. Seterusnya memaknai lafaz takbir "Allahu Akbar" di dalam kehidupan iaitu membesarkan Allah di dalam kehidupan.
Semoga kita lebih memaknai lafaz takbir yang sering diulang-ulangkan. Semoga jiwa kita terbangun untuk membesarkan Allah melebihi perkara yang lain di dalam setiap sisi kehidupan.
Semoga, rahmat Allah mengiringi kita di atas kerja buat kita mengagungkan Allah di atas petunjuknya.
Mari, kita sama-sama meningkatkan kesyukuran atas nikmat Aidilfitri ini dengan meneruskan ketaatan dan amal soleh sepanjang 11 bulan yang mendatang.