Seorang yang mengharapkan markah tinggi dalam peperiksaan, seharusnya meletakkan usaha belajar dan ulangkaji pelajaran. Tindakan sedemikian barulah membenarkan harapan yang terbuku dalam dada. 

Seorang yang mengharapkan rezeki setiap bulan , seharusnya meletakkan usaha mengerah keringat, bekerja untuk sesuap nasi. Tindakan usaha bekerja membenarkan harapan yang menginginkan rezeki halal setiap hujung bulan. 

Apakah pandangan kita terhadap seorang pelajar malas, enggan ulangkaji pelajaran tetapi menyatakan dirinya mahu skor tinggi dalam peperiksaan?

Bagaimana pula pandangan kita terhadap seseorang yang malas bekerja, hanya tidur sepanjang hari kemudian menyatakan dirinya mengharapkan ada rezeki setiap hujung bulan? 

Kedua-duanya sebenarnya tidaklah mengharap, bukan? Sekadar angan-angan mungkin. 

Realiti kehidupan ini, segala harapan harus dibuktikan dengan tindakan. Mari renungkan pula tentang harapan kita untuk bulan Ramadan kali ini. Tinggal berbaki beberapa hari lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya, sudahkah harapan-harapan kita tercapai dalam bulan penuh berkah ini? 

 

Dalam surah Al-Baqarah, Allah s.w.t berfirman bahawa orang yang benar-benar mengharap rahmat Allah s.w.t adalah mereka yang memiliki tiga sifat berikut. 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ  ٢١٨

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Baqarah, 2: 218

Bulan Ramadan adalah bulan diturunkan Al-Qur’an. Beruntunglah mereka yang keluar daripada bulan ini dengan mendapat pengampunan dan rahmat Allah s.w.t. Ayat ke-218 surah Al-Baqarah ini mengajar kita bahawa bukti jiwa yang mengharap rahmat Allah s.w.t ada pada sikap mahu beriman, berhijrah dan berjihad. 

 

Ketiga-tiga teladan ini, dapat kita perhatikan dalam sejarah pemuda yang menyelamatkan iman ke dalam gua. Ketika pemuda-pemuda ini berlindung dalam sebuah gua, mereka berdoa memohon rahmat daripada Allah s.w.t

إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا  ١٠

(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)".

Surah Al-Kahfi, 18: 10

Pemuda Kahfi memohon rahmat dan petunjuk kepada Allah s.w.t. Kemudian, adakah Allah s.w.t memakbulkan doa mereka? 

Ya, Allah s.w.t memakbulkan doa mereka. 

Belas kasihan Allah s.w.t terbukti dengan mereka ditidurkan selama 309 tahun tanpa sebarang sakit dan selamat daripada ancaman musuh. Merekalah pemuda-pemuda yang benar-benar mengharapkan rahmat Allah s.w.t kerana mereka beriman, berhijrah dan berjihad. 

Mari perhatikan satu-persatu ciri-ciri mereka. 

Apakah mereka beriman, berhijrah dan berjihad?

 

Pertama, Allah s.w.t telah mengiktiraf status iman mereka. 

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى  ١٣

Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.

Surah al-Kahfi, 18: 13

 

Kedua, mereka juga tergolong orang-orang yang berhijrah. Mereka berhijrah dari rumah kediaman menuju gua untuk dapatkan perlindungan. 

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا يَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥٓاْ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ يَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَيُهَيِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقٗا  ١٦

Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, niscaya Tuhanmu akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu.

Surah Al-Kahf, 18: 16

 

Terakhir, mereka juga berjihad. Ini terbukti pada sikap mereka yang bangun berdiri lalu  berkata-kata menyampaikan seruan tauhid kepada masyarakatnya. Usaha ini memerlukan kekuatan kesungguhan (jihad) dan tidak akan dilakukan oleh seseorang melainkan punyai jiwa yang kental. 

وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا  ١٤

Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran".

Surah Al-Kahf, 18: 14

Saat menelusuri sejarah pemuda kahfi, tertanya-tanya dalam diri “Apakah benar saya mengharap rahmat Allah s.w.t? Atau apakah saya sekadar berangan-angan tidak benar-benar mengharap?” 

Mari renungi 3 ciri-ciri bukti mengharapnya seseorang akan rahmat Allah s.w.t

 

Beriman

Apakah iman? Jika diteliti, kebanyakan hal  yang harus kita Imani adalah ghaib, tidak nampak. Mengimani Allah s.w.t adalah ghaib, mengimani malaikat adalah ghaib, mengimani hari akhirat adalah ghaib, mengimani qada’ dan qadar juga ghaib. Lalu, bagaimana untuk menumbuhkan keimanan kepada yang tidak nampak dek mata? 

Allah s.w.t berfirman dalam surah Asy-Syura bahawa bahkan nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak mengetahui apakah iman itu melainkan setelah diturunkan Al-Qur’an. Lalu, bagaimana pula dengan kita jika belum memahami Al-Qur’an, bagaimana akan beriman?

وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ  ٥٢

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Qur’an) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al-Qur’an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

Asy-Syura, 42: 52

Keimanan itu memerlukan kefahaman wahyu. Tanpa kefahaman wahyu, khuatir iman melemah, tidak menolak jasad untuk beramal dan berjihad. 

 

Berhijrah

Hijrah adalah proses perpindahan. Kata hijrah ini boleh digunakan merujuk perpindahan fizikal atau perpindahan rohani. Perpindahan fizikal adalah berpindah tempat dari tempat yang dihalang beribadah misalnya, ke suatu tempat yang lebih aman untuk beribadah. 

يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ أَرۡضِي وَٰسِعَةٞ فَإِيَّٰيَ فَٱعۡبُدُونِ  ٥٦

Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku saja.

Al-Ankabut, 29: 56

Perpindahan rohani pula terkait berubah sikap daripada sikap buruk kepada sikap baik. 

Sabda Rasulullah ﷺ:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. (HR al-Bukhari)

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

“Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (HR Ahmad)

Tindakan berhijrah sebenarnya satu usaha berat dan sulit untuk dilakukan. Namun, inilah jalan yang perlu ditempuh untuk membersihkan diri kita , meraih rahmatNya. 

 

Berjihad

Berjihad adalah satu bentuk kesungguhan dalam merealisasikan agenda sampaikan firman Allah s.w.t. Inilah perjuangan terbesar . Pun begitu, hal ini perlu bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu yang mahu bersungguh-sungguh perbaiki diri. Allah s.w.t berfirman pada penghujung surah Al-Ankabut bahawa Allah s.w.t akan membukakan jalan buat mereka yang berjihad. 

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ  ٦٩ 

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.

Al-Ankabut, 29: 69

Ayat ini memberikan kita kelegaan. Ini kerana kesulitan yang perlu ditanggung melalui usaha jihad akan dibalas Allah s.w.t. Justeru tenaga yang dikerah sebenarnya amat bermakna kerana menjemput kebersamaan Allah s.w.t 

 

Persiapkan diri menjadi golongan yang mengharapkan rahmat Allah s.w.t 

Beriman, berhijrah dan berjihad. 

Itulah tiga formula yang perlu diusahakan jika benar kita mahu mengharapkan rahmat Allah s.w.t. Justeru, mari azam persiapkan diri menjadi si hamba yang benar-benar mengharapkan rahmat Allah s.w.t. dengan langkah-langkah berikut : 

  1. Usaha pelajari wahyu agar iman semakin subur dan terbangun. 
  2. Pilih satu tabiat buruk untuk dihijrahkan kepada tabiat baik.
  3. Rancang strategi perubahan sikap daripada buruk kepada baik dan lakukannya penuh kesungguhan. 

Moga-moga,  setiap kita melangkah keluar daripada madrasah Ramadan kali ini dalam keadaan meraih rahmat Allah s.w.t.