Bismillah.
Wahai Tuhan, ampunkan kami atas setiap dosa-dosa yang kami lakukan.
Samada yang kami sedari atau tidak sedari.
Ampunkan kami Tuhan kerana rendahnya nilai syukur kami atas nikmatMu yang tidak terhitung dan tidak tidak ternilai.
Ampun kami kerana lebih banyak kufur dari syukur akan nikmatMu.
Kami sering melihat apa yang tiada di dalam hidup ini.
Sedangkan nikmatMu tidak terhitung.
Kami alpa dengan peringatanMu di dalam Surah An-Nahl: Ayat 18
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٨)
18. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Wahai Tuhan,
Kami syukuri atas nikmat petunjuk Al-Qur’an yang dianugerahkan kepada kami.
Al-Qur’an yang mengeluarkan kami daripada kegelapan kepada cahaya. Surah Ibrahim: Ayat 1
الٓرۚ ڪِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٲطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ (١)
1. Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Qur'an) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Dahulu, kami di dalam kegelapan, kekusutan, kegelisahan, kemurungan serta hilang arah.
Namun, dengan kasih-sayangMu engkau turunkan kepada kami cahaya.
Cahaya yang menerangi kami dalam kehidupan. Al-Qur’an, yang menjadi petunjuk dan cahaya di dalam kehidupan.
Petunjuk di dalam menjalani kehidupan. Surah Al-Baqarah: Ayat 2
ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢)
2. Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Wahai Tuhan
Bantu kami meletakkan kecintaan kepadaMu dan kalamMu
Melebihi yang lain kerana ia perintah dari Mu.
Kerana itu kebenarannya yang perlu kami yakini.
Panduan yang menjadi keselamatan dunia akhirat. Surah At-Taubah: Ayat 24
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (٢٤)
24. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Wahai Tuhan,
Ampunkan kami jika kami alpa membaca dengan namaMu.
Ajarkan kami membaca wahai Tuhan. Surah Ar-Rahman : Ayat 1-2
ٱلرَّحۡمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (٢)
1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
2. Dia lah yang telah mengajarkan Al-Qur'an.
Membaca dimulakan dengan membaca kalamMu yang amat indah.
Al-Qur’an kitab petunjuk buat seluruh manusia.
Wahai Tuhan,
Anugerah terindah dariMu ini tanda kasih sayangMu kepada kami.
Bantu kami untuk mencintai kalamMu.
Mentadabburi kalamMu.
Beriman dan beramal dengan kalamMu.
Berkongsi akan keindahan kalamMu. Surah Al-Imran: Ayat 79
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادً۬ا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُواْ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ (٧٩)
79. Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
Wahai Tuhan,
Menjadi hamba bertaqwa merupakan satu perjuangan.
Perjuangan yang dimulakan dengan ilmu. Sebagaimana firmanMu di dalam Surah Al-Alaq: Ayat 1
Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang telah menciptakan.
MashaAllah, pelajaran pertama ini begitu indah bagi kami.
Perintah dan seruan membaca namaMu.
Wahai Tuhan,
Kami ingin menjadi hamba yang bertaqwa yang mempunyai kedudukan mulia disisiMu.
Orang yang mulia disisiMu adalah orang yang paling bertaqwa. Surah Al-Hujurat: Ayat 13
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ (١٣)
13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Walaupun dosa kami menggunung tinggi, namun menjadi orang bertaqwa merupakan salah satu tujuan kami.
Wahai Tuhan,
Kami akan terus bangkit dari hari ke hari untuk berjuang.
Meninggalkan kemungkaran kepada ketaatan.
Wahai Tuhan,
Ketika yang lain meninggalkan kami.
Kami syukuri Engkau sentiasa ada.
Ketika kami tercari-cari tempat berlindung.
Kami lupa Engkau sebaik-baik pelindung. Al-Baqarah: Ayat 257
ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (٢٥٧)
257. Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.