“Boleh awak tolong doakan saya?” Ujar seorang teman.
“Kenapa?”
“Sebab saya rasa awak lebih dekat dengan Allah.”
Jarang berdoa kepada Allah s.w.t kerana rasa jauh? Biasa kita perhatikan fenomena sebegini bukan? Ada kisah keluarga Firaun dan Bani Israil yang meminta Nabi Musa a.s. berdoa untuk mereka. Ada juga kisah para nabi yang dekat dengan Allah dan doa-doa mereka dimakbulkan Allah s.w.t.
Rasa dekat dengan Allah s.w.t amat terkait sikap seorang hamba terhadap kata-kataNya. Mari fikirkan perihal pekerja yang jarang berhubung dengan majikan. Bahkan dirinya gagal memahami kehendak si majikan mengakibatkan tindak-tanduknya sebagai seorang pekerja seringkali bertentangan. Ketika dalam kesusahan, disebabkan rasa tidak akrab dengan si majikan, lalu pekerja ini tidak cuba meminta bantuan majikannya.
Dalam kumpulan ayat-ayat Ramadan dalam Al-Baqarah, Allah s.w.t ada berfirman bahawa Dia dekat dengan hambaNya. Ayat ke-186 dalam surah Al-Baqarah berkait rapat dengan ayat sebelumnya berhubung kurikulum Ramadan yang didefinisikan Allah s.w.t. Mari telusuri ayat 185 dan 186 Al-Baqarah untuk garap keterkaitannya.
Ramadan sebagai bulan yang diturunkan Al-Qur'an.
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ
Bulan Ramadan adalah (bulan) yang didalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Al-Baqarah, 2 : 185
Kalimah رَمَضَانَ yang berasal daripada kalimah رمضاء bermakna “panas”. Tambahan ان pada bahagian belakangnya merupakan hyperbola yang menambah maksud intensiti iaitu “amat sangat panas.” Menarik untuk difikirkan mengapa bulan yang amat panas dipilih Allah s.w.t sebagai bulan yang diturunkan Al-Qur'an? Antara hikmah yang boleh kita kaitkan adalah wahyu sering diibaratkan air hujan yang menghidupkan bumi yang mati. Wahyu inilah yang turun pada bulan yang amat sangat panas sehingga memenuhi keperluan si hamba, menghilangkan rasa kontangnya.
وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِي ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ لِّقَوۡمٖ يُؤۡمِنُونَ ٦٤ وَٱللَّهُ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَآۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لِّقَوۡمٖ يَسۡمَعُونَ ٦٥
Dan Kami tidak menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur'an) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).
Surah An-Nahl, 16 : 64-65
Selanjutnya, mari perhatikan frasa ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ. Bulan Ramadan adalah bulan yang padanya diturunkan sesuatu. Sesuatu yang diturunkan itu datang dari mana? Mari renungkan dimensi dunia yang terbatas ruang dan waktu. Ada malam dan siang. Ada juga sejarah hal umat yang telah lalu dan generasi yang menggantikannya kini. Jika kita bergerak ke luar, menuju angkasa lepas, seolah-olah tiada waktu yang boleh dihitung kerana tiada lagi malam dan siang. Bagaimana pula dengan dimensi syurga? Di sana, usia manusia tidak terbatas waktu dan semua penghuninya kekal muda. Al-Qur'an yang diturunkan pada bulan Ramadan turun dari satu tempat yang terbebas daripada keterbatasan dimensi ruang dan waktu. Lalu kita dapati kandungan Al-Qur'an adalah mengenai hal-hal yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Gambaran-gambaran penghuni syurga dan neraka dirakam dalam Al-Qur'an seakan-akan semuanya sedang berlaku di hadapan kita. Begitulah dahsyatnya mukjizat Al-Qur'an sebagai kalamullah. Allah s.w.t mendidik kita melalui wahyu. Lalu, bagaimana sikap kita terhadap penurunan Al-Qur'an? Sudahkah kita rasa gembira akan penurunannya?
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ ٥٧ قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٥٨
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".
Surah Yunus, 10 : 57-58
Al-Qur'an yang turun pada bulan Ramadan, harus diambil sehingga memenuhi fungsinya iaitu sebagai petunjuk buat manusia. Dalam cuaca Ramadan yang amat panas, mungkin ramai yang akan menawarkan minuman. Ada ais cendol, ada teh tarik dan ada air kosong. Namun, antara kesemua minuman, minuman apakah yang benar-benar berperanan menghilangkan dahaga? Begitulah dalam kehidupan kita dalam segala aspek kekeluargaan, politik, ekonomi dan sosial, semuanya memerlukan panduan. Sumber panduan itu pelbagai. Namun hanya Al-Qur'an yang memberikan panduan yang benar kerana Al-Qur'an itu هُدٗى لِّلنَّاسِ (petunjuk bagi manusia).
Selanjutnya, bagi mendapat kejelasan terhadap petunjuk, penjelasan-penjelasan mengenainya (وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ ) perlu difahami agar benar-benar menyuluh kehidupan. Akhirnya, jiwa taqwa yang terhasil daripada berpuasa mempersiapkan hati menggarap kalamullah moga-moga Allah s.w.t mahu kurniakan ٱلۡفُرۡقَانِ (pembeza antara kebenaran dan kebatilan) buat hamba-hambaNya yang mahu berinteraksi dengan Al-Qur'an.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانٗا وَيُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَئَِّاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
Hai orang-orang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqaan. Dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.
Surah Al-Anfal : 29
Ramadan sebagai bulan yang diperintahkan berpuasa
فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ
Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya.
Surah Al-Baqarah, 2 : 185
Selain bulan turunnya Al-Qur'an, Allah s.w.t turut mendefinisikan Ramadan sebagai bulan yang diperintahkan berpuasa. Pada ayat ke-183 surah Al-Baqarah, Ibadah berpuasa ini diharapkan boleh menghasilkan taqwa. Mengapa bulan yang diturunkan Al-Qur'an ada perintah berpuasa?
Mari renungkan sedikit fenomena mengenai tubuh kita. Makanan yang dimakan seharusnya berfungsi memberikan tenaga. Syaratnya, makanan tersebut perlu memasuki sel di dalam tubuh agar berlaku proses metabolisma menukarkan makanan kepada tenaga. Namun, untuk sesetengah golongan yang mengalami gangguan sistem metabolisma, berlaku ketidakseimbangan pada sistem hormon insulin. Hormon insulin yang tidak mampu memasukkan makanan ke dalam sel-sel dalam badan memaksa makanan tersebut masuk ke sel lemak. Makanan yang tidak memasuki sel-sel badan tidak boleh ditukarkan kepada tenaga. Lalu, tuan badan yang baru sahaja makan, tidak mendapat tenaga meskipun baru sahaja menjamah makanan. Badan terus memberikan isyarat lapar menyebabkan tuan badan mencari lagi makanan. Kitaran ini boleh berulang banyak kali mengakibatkan kegemukan. Ini antara bukti pada fenomena alam bahawa sistem dalam badan perlu seimbang dan sihat agar makanan yang dijamah boleh berfungsi memberikan tenaga.
Mari fikirkan pula interaksi si hamba dengan Al-Qur'an. Allah s.w.t berfirman bahawa Al-Qur'an itu adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.
الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢
Alif laam miim.Kitab (Al-Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa,
Al-Baqarah, 2 : 1-2
Al-Qur'an adalah kata-kata Allah s.w.t yang boleh memberikan petunjuk buat manusia. Namun, untuk mendapat petunjuk daripada Al-Qur'an, manusia perlu persiapkan jiwanya dengan “bekas taqwa”. Tanpa taqwa, khuatir bacaan ayat-ayat Qur'an ini tidak digarap sebagai petunjuk. Ibadah berpuasa yang melahirkan taqwa diharapkan mempersiapkan jiwa-jiwa mukmin menerima siraman wahyu agar ayat-ayat Al-Qur'an yang dipelajari dapat dinikmati sebagai petunjuk.
Al-Qur'an dan taqwa yang membuahkan hasil yang wajar disyukuri
وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
Al-Baqarah, 2 : 185
Kebanyakan kita tatkala memperoleh nikmat, akan terbit rasa syukur terhadap pihak yang memberi nikmat. Namun, jika gagal merasai nikmat, rasa kesyukuran sulit untuk hadir. Begitu jugalah dengan Ramadan sebagai bulan yang diturunkan Al-Qur'an. Tidak semua berinteraksi dengan Al-Qur'an sehingga dapat memfungsikannya sebagai petunjuk. Jika ini berlaku, nikmat wahyu sebagai petunjuk gagal dirasa. Akibatnya, tidak terbit rasa syukur. Justeru, si hamba yang benar-benar mahu mendapatkan manfaat bulan Ramadan ini harus letakkan usaha berinteraksi dengan wahyu agar berjaya garap kefahaman yang menghasilkan petunjuk kehidupan. Nikmat yang dirasai inilah yang membuahkan kesyukuran.
Jiwa yang menjadikan Qur'an sebagai petunjuk adalah ‘ibadullah.
Jiwa bertaqwa yang berusaha memahami wahyu sehingga menjadikannya petunjuk adalah ciri hamba Allah s.w.t. Dalam surah Hud, Allah s.w.t berfirman bahawa Al-Qur'an itu dijelaskan kandungannya agar manusia tidak mengabdikan diri melainkan hanya kepada Allah s.w.t.
الٓرۚ كِتَٰبٌ أُحۡكِمَتۡ ءَايَٰتُهُۥ ثُمَّ فُصِّلَتۡ مِن لَّدُنۡ حَكِيمٍ خَبِيرٍ ١ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّا ٱللَّهَۚ إِنَّنِي لَكُم مِّنۡهُ نَذِيرٞ وَبَشِيرٞ
٢
Alif laam raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu agar kamu tidak mengabdikan diri kepada selain Allah. Sesungguhnya aku (Muhammad) adalah pemberi peringatan dan pembawa khabar gembira kepadamu daripada-Nya,
Surah Hud, 11 : 1-2
Seorang hamba adalah seorang insan yang dimiliki dan dikuasai tuannya. Lalu bukti hamba adalah patuh kepada segala yang dikehendaki tuan. Hubungan manusia dengan Pencipta pula adalah hubungan antara si hamba dan Tuhannya. Si hamba tidak akan mampu menjadi hamba yang taat jika tidak mengetahui apa yang dikehendaki Tuhannya terhadap dirinya. Ayat pertama dan kedua surah Hud menjelaskan bahawa seseorang hanya akan mampu mengabdi kepada Allah s.w.t jika peduli memahami Al-Kitab. Tanpa memahami kandungan wahyu, mana mungkin seseorang mampu mengabdi kepadaNya.
Kembali ke ayat-ayat Ramadan, setelah Allah s.w.t berfirman mengenai Ramadan sebagai bulan Al-Qur'an dan puasa pada ayat ke-185, selanjutnya Allah s.w.t membongkar satu jawapan. Allah s.w.t berfirman bahawa Dia dekat dengan hambaNya. Dia juga mengabulkan doa si hamba (‘ibad) yang berdoa ketika dia berdoa.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
Al-Baqarah, 2 : 186
Siapakah si hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini? Si hamba yang dirujuk terkait mereka yang melaksanakan kurikulum Ramadan pada ayat sebelumnya kerana ayat ini diikat dengan kata و (dan) pada bahagian awal ayat. Si hamba yang benar-benar peduli berinteraksi dengan Al-Qur'an sehingga merasai nikmat petunjuk daripadanya adalah dekat dengan Allah s.w.t. Si hamba berhajat kepada Allah s.w.t, mahu bermohon kepadaNya. Allah s.w.t seterusnya berikan panduan bahawa si hamba juga punyai tanggungjawab memenuhi seruan Allah s.w.t dan beriman kepadaNya. Tatkala si hamba memilih memenuhi seruanNya, dirinya tergolong orang-orang yang berada dalam kebenaran.
Sesudah berusaha memahami wahyu hari demi hari, seorang hamba moga-moga peroleh hidayah untuk berada atas jalan yang lurus. Namun begitu, pasti hadir syaitan yang sentiasa duduk atas jalan yang lurus untuk mengeluarkan si hamba daripada jalan kebenaran.
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧
(Iblis) menjawab “kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, maka aku akan selalu menghalang mereka daripada jalanMu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka daripada depan, belakang, kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.
Al-‘Araf, 7 : 16-17
Renungkan sejarah Nabi Adam a.s. Setelah mendapat petunjuk larangan Allah s.w.t untuk tidak mendekati pohon larangan, hadir bisikan iblis menggelincirkan Nabi Adam a.s dan Hawwa. Justeru, syarat untuk tetap berada atas jalan kebenaran setelah memperoleh petunjuk adalah terus memenuhi seruan Allah s.w.t dan meyakiniNya. Inilah yang akhirnya membuatkan si hamba peroleh jalan kebenaran (rusyd).
Secara rumusan, ayat 185 dan 186 surah Al-Baqarah mengajar kita pentingnya peranan Al-Qur'an untuk menjadikan seseorang itu benar-benar mengabdi kepada Allah s.w.t. Jiwa yang taat kepada Allah s.w.t setelah memahami kalamullah moga-moga layak meraih gelar ‘ibad. Allah s.w.t dekat dengan hamba-hambaNya dan mengabulkan permohonannya. Justeru, selayaknya si hamba terus memenuhi seruan Allah s.w.t serta mengimaniNya agar terus berada atas jalan kebenaran.
Rujukan
Mokhammad Yahya (2022). Tarhib Ramadhan anjuran Makhdamul Quran. Rakaman Youtube https://www.youtube.com/watch?v=LKtoF3aBtVs
Sholihah Kaswari (2022). Hayya nu’min sa’ah- Al-Baqarah 185 . Rakaman Youtube https://www.facebook.com/100078968401028/videos/542423713871104