Marah adalah antara emosi yang dirasakan oleh manusia sebagai reaksi atau respon terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Apabila ada perkara yang tidak kena dengan hati atau adakala perasaan disakiti maka hati ini mula memberikan tindak balas semula jadi melalui terpancarnya emosi.
Emosi yang luar biasa ini kadang-kadang boleh meledak sehingga tidak terkawal, apabila emosi mula menguasai akal maka tubuh badan mula menzahirkannya dengan perbuatan seperti menghamburkan makian, memukul, membakar, merosakkan harta benda, dan lebih parah lagi sehingga membunuh.
Semua itu bermula daripada perasaan marah yang ternyata bukan solusi dan penyelesaian kepada masalah dan sakitnya hati. Bahkan emosi marah yang tidak terkawal ini memberi kesan yang negatif kepada diri sendiri dan orang sekeliling kita yang menerima padahnya, sedangkan emosi marah yang dirasakan pada asalnya adalah normal dalam kehidupan ini.
Sekiranya marah adalah sifat normal yang dirasakan oleh manusia, mengapa Islam memerintahkan manusia untuk mengawal rasa marah itu? Adakah kita tidak boleh marah sama sekali, atau harus menahan marah atau mungkin mendiamkan diri apabila dimarahi? Bagaimana sebenarnya marah dari sudut pandang Islam ini dan sekiranya kita sedang marah apa yang harus kita lakukan?
Oleh itu, penulisan kali ini akan membuka perspektif untuk kita bersama-sama berfikir mengapa Nabi Muhammad SAW memerintahkan kita untuk menahan rasa marah, walaupun emosi itu datang ‘singgah’ di dalam hidup ini tanpa kita pinta. Seperti mana nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada seorang lelaki apabila beliau meminta nasihat kepada Baginda SAW:
قال: "لا تغضب" فردد مراراً، قال: " لاتغضب"
Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.”
(HR Bukhari)
Di dalam hadith ini Nabi Muhammad SAW mengulang beberapa kali larangan untuk tidak marah, menunjukkan betapa pentingnya untuk kita menjauhi segala perkara dan perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan. Kemarahan seharusnya bijak diuruskan oleh orang mukmin kerana sifat marah ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik hanya mendatangkan penyesalan, bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sebelum melakukan sesuatu atau mengambil tindakan yang hanya mengundang penyesalan maka berfikirlah dengan baik dan uruskanlah dengan bijak.
Menjadi Insan yang Hebat
Insan yang hebat tu adalah mereka yang boleh menahan marah. Perkara ini berdasarkan sabda Baginda SAW dalam sebuah hadith:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ليسَ الشَّديدُ بالصُّرَعَةِ ، إنَّما الشَّديدُ الَّذي يملِكُ نفسَه عندَ الغَضبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(HR Bukhari)
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa insan yang kuat itu adalah mereka yang dapat menahan kemarahan, kerana apabila seseorang itu boleh mengawal kemarahannya, maka dia boleh mengawal perkara-perkara lain yang datang dalam hidupnya. Oleh kerana marah bukan perkara mudah untuk dikawal, apabila dapat dikawal maka anda adalah insan yang hebat!
Mengapa marah ini harus dikawal?
Kerana apabila manusia itu menzahirkan rasa marahnya, maka ianya akan meninggalkan kesan yang negatif kepada diri mereka sendiri dari sudut kesihatan fizikal dan mental. Al-Qur’an turut menggambarkan kesan negatif daripada sifat marah, yang mana sifat ini tidak memberi sebarang kebaikan kepada seseorang melainkan hanyalah kerugiaan (Surah Al-Ahzab: 25), dan juga Allah SWT melaknat orang yang tidak dapat mengawal rasa marahnya sehingga melakukan perbuatan yang ditegah dalam Islam seperti membunuh (Surah An-Nisaa’: 93).
Bahkan marah yang dihamburkan kepada orang lain, akan merosakkan hubungan sosial yang dibina serta menimbulkan penyesalan kepada pelakunya. Oleh itu jelaslah, sifat marah banyak memberi kesan yang negatif kepada manusia dan oleh sebab itu sifat ini dilarang di dalam Islam. Malahan apabila manusia sedang marah, mereka akan membuka laluan buat syaitan dan iblis untuk lebih mudah menguasai hati dan fikiran mereka, dan ini akan memberi kesan kepada seseorang itu untuk tidak dapat berfikir dengan waras dan hilang pertimbangan. Oleh sebab itu, Islam menegaskan kepada umatnya untuk menahan kemarahan.
Saat Nabi Muhammad SAW Marah?
Marah untuk menegakkan sesuatu hukum dan menentang kebatilan adalah dibolehkan di dalam Islam. Marah ini dikenali sebagai Al-Ghadab Al-Mahmud (marah yang terpuji), sifat marah yang dibolehkan oleh syarak ini adalah bertujuan untuk mempertahankan agama Islam daripada serangan pihak musuh seperti orang kafir, munafik dan lain-lain yang cuba untuk mempersendakan agama Islam.
Walaupun sifat marah dilarang sama sekali oleh Baginda SAW berdasarkan hadith di atas, ada beberapa contoh yang disebutkan di dalam hadith lain berkaitan Nabi Muhammad SAW yang pernah marah pada sesuatu perkara yang berlaku. Tetapi Baginda SAW tidak marah kerana dirinya dihina atau dimarahi, tetapi Baginda SAW marah adalah untuk menegakkan hukum Islam, dan memberi penegasan bahawa perkara tersebut dilarang untuk dilakukan. Seperti mana dalam suatu peristiwa Nabi Muhammad SAW melihat seorang lelaki memakai cincin emas, sedangkan perkara itu dilarang sama sekali dalam Islam. Melihat perbuatan itu, Baginda SAW berasa marah lalu mencabut cincin dari tangan lelaki itu dan melemparkannya ke tanah. Lalu Baginda SAW bersabda:
يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى جَمْرَةٍ مِنْ نَارٍ فَيَجْعَلُهَا فِي يَدِهِ
Salah seorang di antara kalian dengan sengaja menceburkan diri ke jilatan api dengan menggunakannya (cincin emas) di tangannya
(HR Muslim)
Nabi Muhammad SAW marah ketika terdapat pelanggaran hukum dalam kalangan sahabat, pada peristiwa lain Nabi Muhammad SAW juga marah terhadap Usamah bin Zaid r.a. yang membunuh seorang musuh di medan perang, sedangkan dia telah mengucapkan syahadah. Adakalanya, Nabi Muhammad SAW marah apabila para sahabat tidak bersegera dalam melakukan kebaikan.
Namun begitu, sifat Nabi Muhammad SAW yang mulia, Baginda tidak memarahi para sahabat sehingga boleh mengaibkan mereka di khalayak ramai. Baginda SAW juga tidak pernah marah sehingga menggunakan kekuatan fizikal kecuali ketika berperang. Marahnya Baginda SAW hanyalah untuk memberi peringatan dan melindungi umat Islam daripada segala kemungkaran, dan begitulah seharusnya diletakkan kemarahan yang dirasai. Bukan memarahi sehingga mengaibkan atau mencederakan mereka yang dimarahi, kerana bukan itu yang diajarkan oleh agama yang penuh dengan kerahmatan ini.
Agar Kemarahan Tidak Membakar Diri & Orang Lain
Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, maksudnya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;(134)
(Surah A-li ‘Imraan: 133-134)
Allah SWT menyifatkan ciri-ciri orang yang bertakwa antaranya adalah orang yang dapat menahan marah mereka dan memaafkan kesalahan orang lain. Kemarahan yang dirasai jangan sampai kita hamburkan kepada mereka yang tersilap dalam membuat keputusan sebelum bertindak. Oleh itu, belajarlah untuk menahan kemarahan tersebut, dan berikut kita kongsikan tips bagaimana Islam mengajar kita untuk mengawal kemarahan yang berkunjung di hati:
- Menukar posisi kedudukan ketika saat kemarahan. Sekiranya sedang berdiri maka duduklah, sekiranya sedang duduk maka berbaringlah. Perkara ini disarankan seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith, sabda Baginda SAW: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak hendaklah dia berbaring.” (HR Sunan Abi Daud)
- Membaca Ta’awudz: أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.) Sabda Baginda SAW, maksudnya: “Sesungguhnya aku tahu ada sebuah kalimat, jika dibaca oleh orang ini, amarahnya akan hilang. Jika dia membaca ta’awudz: A-‘uudzu billahi minas syaithaniir rajiim, amarahnya akan hilang”. (HR Bukhari & Muslim)
- Ambillah wuduk, mengambil wuduk adalah salah satu cara untuk memadamkan api kemarahan. Berdasarkan sebuah hadith, sabda Nabi Muhammad SAW: “…maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.” (HR Sunan Abi Daud)
- Berdiam dan mengambil masa untuk berfikir dan bertenang sebelum membuat sesuatu keputusan. Agar keputusan yang dibuat bukan mengikut emosi marah semata-mata tetapi berdasarkan kewarasan akal fikiran.
- Bersabar dan memikirkan ganjaran-ganjaran yang bakal diperolehi bagi mereka yang bersabar. Marah juga adalah sebahagian daripada ujian, sekiranya seseorang itu berjaya menahan marah, maka mereka adalah di kalangan orang yang berjaya kerana bersabar di atas ujian tersebut.
- Zahirkanlah rasa marah dalam keadaan terkawal, menyatakan dengan tegas dan berikan teguran yang selayaknya, jangan sampai mengeluarkan kata-kata keji atau menyakitkan, kerana itu bukan sifat orang yang beriman.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
…dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.
(Surah Asy-Syuura: 37)
Ayat ini menjadi peringatan buat kita bahawa apabila ada yang menguji kesabaran kita, sehingga menyalakan api kemarahan, maafkanlah…
Tiada manusia yang sempurna di dalam kehidupan ini, walaupun manusia sering mengharapkan kesempurnaan, dan hakikatnya manusia sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Maka belajarlah untuk saling memaafkan walaupun ianya mungkin berat untuk dilakukan. Memaafkan, bukan juga bererti mengaku kalah tetapi menunjukkan kematangan fikiran dan kelembutan hati.
Oleh itu, marah bukan solusi kepada masalah, tetapi kemaafan adalah solusi kepada kemarahan. Semoga puasa yang sedang kita jalani di bulan Ramadhan ini juga adalah medan latihan buat kita untuk menjadi insan yang lebih baik berdasarkan petunjuk Al-Qur’an dan hadith. Salam Ramadhan Al-Mubarrak. Wallahu a’lam.