Beberapa minggu sahaja lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan al-Mubarak. Istimewanya bulan ini sehingga dikenali sebagai bulan yang penuh keberkatan, kerana amalan kebaikan dan ibadah yang sekecil mana pun dilakukan akan mendapat pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT. Selain itu, banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith yang menceritakan keistimewaan bulan ini. Selain daripada kita sebagai umat Islam akan menunaikan ibadah berpuasa selama 30 hari berturut-turut sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran, Al-Qur’an juga diturunkan pada bulan ini. Terdapat juga malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Oleh sebab itu, bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa berbanding bulan-bulan lain. Dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal tiba ini, marilah kita sama-sama membuat persediaan diri secara fizikal dan mental agar Ramadan yang dilalui lebih bermakna untuk dihayati.
Antara persediaan yang diperlukan adalah kita boleh menetapkan matlamat amalan dan ibadah yang ingin kita lakukan dan capai sepanjang bulan Ramadan ini. Selain daripada bertadarus, menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah, bersedekah, iftar bersama keluarga dan rakan-rakan, kita juga boleh menetapkan matlamat-matlamat baru yang ingin kita capai sepanjang Ramadan ini, agar kita menambah baik diri kita dan amalan ibadah kita untuk bekalan di bulan-bulan yang akan datang. Seperti berusaha mendisiplinkan diri untuk solat di awal waktu, menghadiri kelas-kelas pengajian, berkongsi peringatan-peringatan yang baik bersama rakan-rakan kita di sosial media, menghafal ayat-ayat Al-Qur’an atau mungkin mengajarkan diri kita dan keluarga untuk mengamalkan doa-doa dalam kehidupan seharian. Oleh itu, untuk mencapai kesemua matlamat ini, aplikasi Qalby boleh membantu anda, kerana di dalam aplikasi ini tersedia ciri-ciri tersebut bagi meningkatkan lagi produktiviti ibadah di bulan Ramadan. Bagaimana? Jom baca entri ini untuk membantu anda berkenalan dengan aplikasi Qalby.
Menjaga Waktu Ibadah Solat Dengan Solah Countdown
Di dalam aplikasi Qalby, selain daripada kita boleh mengetahui masuknya waktu solat yang kita nanti-nantikan melalui peringatan di dalam bentuk notifikasi yang diberikan kepada telefon bimbit kita, sama ada berbentuk suara azan atau dengan bunyi bip, bahagian ini juga menyediakan pengiraan detik (countdown), untuk kita ketahui berapa jam lagi akan masuk waktu solat yang seterusnya atau berapa minit lagi akan masuk waktu solat yang sedang kita nantikan. Jadi ini akan membantu kita untuk merancang aktiviti yang ingin kita lakukan agar kita boleh menyediakan diri untuk solat di awal waktu. Di bulan yang mulia ini, marilah kita memasang niat dan memperbaharui azam untuk mendisiplinkan diri solat di awal waktu, kerana amalan ini sangat disukai oleh Allah SWT. Seperti mana di dalam sebuah hadith, Baginda SAW ditanyakan apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, Baginda SAW menjawab, “Solat pada waktunya…” (HR Bukhari & Muslim). Oleh itu, tingkatkan disiplin diri, dengan menjaga ibadah solat, dan rancanglah aktiviti yang ingin dilakukan di bulan Ramadan ini agar kita peroleh keberkatannya. Oh ya…bagi para ibu dan suri rumah, Solah Countdown di dalam aplikasi ini juga boleh membantu anda untuk merancang waktu yang anda perlukan untuk menyediakan juadah bagi iftar, agar anda mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan menu yang diniatkan sebelum waktu berbuka.
Tambah Ilmu & Tingkatkan Iman Melalui Ilm Finder
Antara ciri yang paling menarik ditawarkan oleh aplikasi Qalby kepada penggunanya adalah Ilm Finder. Melalui ciri ini anda boleh mengetahui kelas-kelas pengajian agama yang ditawarkan untuk anda sertai sama ada secara atas talian atau bersemuka. Pelbagai pengajian disediakan seperti kelas tadabbur Al-Qur’an untuk anda memahami ayat-ayat Al-Qur’an, kelas bahasa arab untuk pemula, pengajian sirah, aqidah, kesihatan mental dan lain-lain. Selain itu, aplikasi ini juga menawarkan kepada anda bukan sahaja kelas-kelas pengajian di dalam negara malahan luar negara, ada juga pengajian yang berbentuk diploma yang ditawarkan. Aplikasi ini juga berkongsi dengan anda aktiviti-aktiviti bedah buku, usrah dan lain-lain yang anda boleh sertai. Semua ini disediakan untuk pengguna aplikasi ini, hanya tinggal untuk anda klik, pilih yang mana satu pilihan hati, serta sertai kelas pengajian tersebut untuk anda menambah ilmu serta meningkatkan keimanan. Ini kerana ilmu yang dipelajari akan membantu anda menghayati sesuatu ibadah atau perkara, seterusnya meningkatkan keimanan. Bahkan istimewanya orang yang berilmu ini di dalam Al-Qur’an Allah SWT berfirman bahawa mereka itu bukan sahaja mendapat ganjaran di akhirat malahan di angkat darjatnya di dunia ini, firman Allah SWT: “...supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat...” (Surah Al-Mujaadalah:11)
Sebarkan Kebaikan Dengan Daily Inspiration
Di dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (HR Bukhari). Kita boleh menjadikan hadith ini sebagai motivasi kepada kita dalam usaha untuk menyebarkan kebaikan melalui ilmu-ilmu agama yang kita perolehi kepada masyarakat. Mungkin kita merasakan ‘aku bukanlah orang yang layak’, tetapi ini tidak bermakna tiada usaha yang boleh kita lakukan. Walaupun sedikit sahaja ilmu yang kita kongsikan, sekiranya ianya benar dan memberi impak kepada mereka yang mendengarnya atau membacakannya maka ianya menjadi saham akhirat buat kita. Namun begitu, hati-hati jangan sampai kita menyampaikan atau berkongsi ilmu yang tidak benar kepada orang lain, kerana itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh itu, antara ciri aplikasi Qalby yang lain adalah menyediakan bahagian Daily Inspiration, di mana pada bahagian ini terdapat ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith, yang anda boleh kongsikan di sosial media anda. Hanya dengan menekan butang ‘Share’, anda boleh berkongsi kepada rakan-rakan sosial media anda peringatan-peringatan melalui ayat Al-Qur’an dan hadith. Oleh itu, di bulan Ramadan yang mulia ini, mari kita sama-sama mengutip pahala daripada kebaikan yang mudah untuk dilakukan dengan berkongsi Daily Inspiration dengan rakan-rakan sosial media kita!
Lebih Akrab Dengan Al-Qur’an
Selain daripada berpuasa di bulan Ramadan, ramai di kalangan umat Islam akan mengadakan aktiviti tadarus Al-Qur’an, sama ada secara individu atau berkelompok. Ada juga dikalangan kita yang akan berusaha untuk mengkhatamkan bacaan Al-Qur’an 30 Juzu’ di bulan yang mulia ini. Sekiranya anda semua sudah memasang niat untuk melakukan ibadah ini di bulan Ramadan yang akan tiba, Alhamdulillah dan tahniah kami ucapkan. Semoga anda memperolehi pahala daripada apa yang telah diniatkan. Bulan Ramadan ini, bulan Al-Qur’an, kerana pada bulan ini bukan sahaja Al-Qur’an diturunkan, malahan terdapat juga hadith Rasulullah SAW yang menganjurkan umatnya untuk menghidupkan hari-hari di bulan Ramadan ini dengan kalam suci Allah SWT. Bahkan dalam sebuah hadith lain Baginda SAW bersabda: ”Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya” (HR Muslim). Oleh itu, di bulan mulia ini, jadikanlah diri kita lebih akrab dengan Al-Qur’an, dan memperbanyakkanlah bacaan ayat-ayat Al-Qur’an. Selain daripada membaca, usahakanlah diri kita untuk mentadabbur (merenung) maksud ayat-ayat yang dibaca atau sekiranya kita mampu cubalah menghafaz ayat-ayat Al-Qur’an walaupun sedikit. Ayat-ayat tersebut akan menjadi syafaat buat kita di akhirat kelak. Untuk itu, aplikasi Qalby akan membantu anda untuk lebih erat dan akrab dengan Al-Qur’an kerana aplikasi ini menyediakan Al-Qur’an buat anda di dalamnya. Selain itu, ianya juga dilengkapi dengan terjemahan Bahasa Melayu, Inggeris dan juga Indonesia, sekiranya anda ingin mendengarkan bacaan-bacaan Qari ketika dalam kenderaan ketika pulang kerja atau sambil memasak di dapur aplikasi inilah jawapannya. Yang paling menarik adalah aplikasi ini datang dengan ciri Hifz, yang mana membantu anda untuk membuat hafalan ayat-ayat Al-Qur’an tertentu dengan mendengar ulangan bacaan Qari sebanyak mungkin hanya dengan menekan butang ‘repeat’ sehingga anda dapat menghafal ayat tersebut. Menarikkan? Oleh itu, gunakanlah ciri-ciri yang terdapat pada bahagian ini untuk kita lebih akrab dengan Al-Qur’an di bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Memperdengarkan dan Menghafal Doa-doa
Istimewanya aplikasi ini yang datang dengan ciri menyediakan bahagian pelbagai doa-doa kepada penggunanya. Antara doa-doa yang terdapat pada bahagian ini adalah doa di waktu pagi, doa di waktu petang, doa ketika mimpi buruk dan lain-lain. Di samping itu, aplikasi ini juga menyediakan doa-doa di bulan Ramadan kepada penggunanya. Aplikasi ini juga boleh membantu anda untuk menghafal doa-doa tersebut dengan menggunakan ciri Hifz yang terdapat padanya. Bahkan terdapat bahagian ‘Playlists’ yang membantu anda untuk mengumpulkan senarai doa-doa yang anda inginkan di dalam satu fail. Atau mungkin anda boleh pasangkan doa-doa ini kepada keluarga anda supaya sama-sama boleh amalkan dan menghafalkannya. Oleh itu, di bulan Ramadan ini, lazimilah diri kita dengan amalan-amalan doa ini agar kita menjadi hamba Allah yang meletakkan tawakkal pada-Nya pada setiap detik kehidupan dunia yang dilalui.
Oleh itu, tingkatkan produktiviti kita di bulan Ramadan ini dengan pelbagai amalan ibadah. Bahkan kerja-kerja yang kita lakukan seharian juga niatkan sebagai ibadah agar kita memperoleh pahala dan keberkatan daripada-Nya. Rancanglah aktiviti, tetapkanlah matlamat, dan teruskanlah beribadah di bulan Ramadan ini agar kita kekal produktif. Janganlah jadikan bulan puasa ini sekadar kita menahan lapar dan dahaga, serta berlalu begitu sahaja menunggu syawal yang akan tiba. Tetapi berlumba-lumbalah dalam mendapatkan barakah (keberkatan) yang terdapat di dalam bulan yang mulia ini. Untuk memudahkan anda lebih produktif di bulan Ramadan ini, jadikan telefon bimbit anda sebagai alat bagi meningkatkan amalan dan ibadah. Apa tunggu lagi dapatkan aplikasi Qalby dengan muat turun secara percuma di telefon bimbit anda sekarang! Aplikasi ini boleh didapati di dalam Play Store dan Apple Store. Salam Ramadhan Al-Kareem! Wallahu a’lam.