Ya Allah,
Pernah insan-insan pemurah hadir dalam hidupku.
Aku cukup senang dengan mereka, ya Allah. Melalui pemberian mereka, keadaanku berubah daripada tidak memiliki kepada memiliki. Daripada tidak mampu menikmati, aku jadi boleh menikmati. Daripada buntu tidak menemui jalan keluar, aku jadi mampu mengatasi halangan.
Sungguh, hati ini jadi lunak dan terpaut pada insan yang suka memberi. Aku memang boleh jatuh cinta pada insan yang suka memberi, ya Allah.
Dan,
Di sebalik manusia yang suka memberi, hatiku teringat padaMu ya Allah. Bahkan Engkaulah yang paling banyak memberi mengatasi pemberian-pemberian manusia lain. Engkaulah yang telah memberiku petunjuk yang mengeluarkanku daripada lapis-lapis kegelapan. Engkaulah yang memberiku nikmat rezeki sempurna sehingga ke hari ini.
وَءَاتَٮٰكُم مِّن ڪُلِّ مَا سَأَلۡتُمُوهُۚ وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.
Surah Ibrahim , 14: 34
Ya Allah,
Ketika aku rasa kesunyian, aku cukup bahagia jika ada yang hadir menyapa dan bertanya khabarku. Aku cukup senang dengan insan-insan yang mahu bersama untuk bantu sempurnakan amanah-amanahku. Aku cukup hargai kebersamaan insan-insan yang suka beri buah fikiran kebenaran yang membuatku celik akal.
Kebersamaan membuatkan aku tak rasa bersendirian. Misi yang aku rasa tak mampu lakukan sendiri-sendiri, jadi realiti tatkala ada yang mahu menggalasnya bersama.
Aku memang boleh jatuh cinta pada manusia yang paling sering bersamaku merealisasikan cita-cita, ya Allah.
Dan,
Selain jiwa-jiwa manusia yang mahu bersama denganku, hatiku teringat akan kebersamaanMu ya Allah. Kerana bahkan Engkaulah yang paling setia bersamaku, menjagaku setiap detik waktu. Engkau bersamaku sejak aku diciptakan di alam rahim. Engkau tetap ada bersamaku dan Maha Mendengar segala luahan hatiku. Dan Engkaulah yang paling tahu keadaan jiwaku setiap waktu.
لَهُ ۥ مُعَقِّبَـٰتٌ۬ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُ ۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.
Surah Ar-Ra’d, 13 : 11
Ya Allah
Pernah hadir insan-insan yang tidak berkira-kira berbuat baik kepadaku. Bahkan tiada sebarang imbalan atau balasan yang mereka harapkan atas kebaikan yang diberikan. Rasa cintaku terhadap peribadi sebegini jadi semakin mendalam tatkala kebaikan yang diberikan adalah manfaat yang amat kuperlukan pada waktu terdesak. Aku cukup terhutang budi dengan kebaikan yang mereka berikan ya Allah.
Sungguh, aku boleh jatuh cinta pada manusia yang banyak berbuat baik kepadaku, ya Allah.
Dan,
Di sebalik sikap ihsan manusia kepadaku, aku teringat akan rahmatMu ya Allah. Bahkan Engkaulah yang paling banyak beri kebaikan kepadaku sejak lahir. Engkaulah yang mencukupkan keperluanku sehingga kini. Engkaulah yang menjadikan bumi sebagai hamparan yang selamat untuk aku diami. Engkaulah yang bangunkan langit menyelamatkanku daripada segala yang menakutkan pada angkasa lepas.
أَلَمۡ تَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ وَأَسۡبَغَ عَلَيۡكُمۡ نِعَمَهُ ۥ ظَـٰهِرَةً۬ وَبَاطِنَةً۬ۗ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin?
Surah Luqman, 31 : 20
Ya Allah,
Aku pernah didampingi insan-insan yang tinggi ilmu dan mulia budi pekerti.
Aku cukup senang untuk bersama dengan insan seperti mereka, ya Allah. Butir-butir kata-kata yang keluar daripada mulutnya sarat hikmah untuk aku ambil pedoman. Bersama insan seperti mereka memberiku nilai tambah pada takungan ilmuku.
Sungguh, aku boleh jatuh cinta pada manusia berilmu dan kaya hikmah, ya Allah.
Dan,
Di sebalik terpautnya jiwaku pada peribadi berilmu, aku teringat padaMu ya Allah. Kerana bahkan Engkaulah pemilik segala ilmu kebenaran. Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Engkaulah sumber segala ilmu yang ada di dunia ini.
وَلَوۡ أَنَّمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ مِن شَجَرَةٍ أَقۡلَـٰمٌ۬ وَٱلۡبَحۡرُ يَمُدُّهُ ۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦ سَبۡعَةُ أَبۡحُرٍ۬ مَّا نَفِدَتۡ كَلِمَـٰتُ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ ( ٢٧ )
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Surah Luqman, 31 : 27
Ya Allah,
Pernah suatu ketika aku bersendirian hadapi kesulitan. Tiba-tiba ada insan yang hadir berikan perhatian.
Aku amat bahagia dengan insan yang prihatin akan keadaanku. Hati yang rasa sepi bersendirian tiba-tiba rasa dihargai dengan kepedulian tanpa syarat daripada insan yang sudi. Ada ketikanya, perhatian yang diberikan datang pada waktu dan oleh pihak yang tak disangka-sangka. Kejutan-kejutan perhatian ini beriku kekuatan dan semangat untuk bertahan meneruskan perjuangan.
Sungguh, aku memang boleh jatuh cinta pada insan yang peduli beri perhatian tulus kepadaku, ya Allah.
Dan,
Di sebalik prihatinnya insan kepadaku, aku sedar akan kehadiranMu ya Allah. Bahkan Engkaulah yang paling sering beri perhatian terhadap diriku. Engkaulah yang memberikan apa yang aku perlukan. Dan Engkau sentiasa memberikanku petunjuk, tidak membiarkan aku teraba-raba dalam kegelapan. Engkau dekat denganku tatkala tiada seorang manusiapun di sampingku.
سَبِّحِ ٱسۡمَ رَبِّكَ ٱلۡأَعۡلَى ( ١ ) ٱلَّذِى خَلَقَ فَسَوَّىٰ ( ٢ ) وَٱلَّذِى قَدَّرَ فَهَدَىٰ ( ٣ )
Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan). (1) Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. (2) Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). (3)
Surah Al-Lail, 87 : 1-3
Ya Allah,
Seringkali aku mengharap pada manusia fakir untuk mencukupkan keperluanku. Ada ketika, aku tercari-cari manusia untuk aku rasa cukup disayangi dan dicintai. Rasa kekosongan dalam jiwa ini, begitu menyakitkan ya Allah.
Sedangkan, aku terlupa bahawa Engkau sebenarnya telah terlebih dahulu mengasihiku dan memeliharaku. Justeru, kurniakanlah aku petunjuk jalan yang lurus ya Allah. Dan bantulah aku menjadi hamba yang mampu bersyukur atas nikmat-nikmatMu.
رَبِّ أَوۡزِعۡنِىٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٲلِدَىَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَـٰلِحً۬ا تَرۡضَٮٰهُ وَأَدۡخِلۡنِى بِرَحۡمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ( ١٩ )
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Surah An-Naml, 27 : 19
Rujukan
Cahayadi Takariawan, Wahid Ahmadi, Abdullah Sunono. (2003) . Motivasi Cinta. Iman dan Mahabbatullah. Era Intermedia : Solo.
Ira Syatira
Ayat Ibrahim