Apabila malam menjelma, siang pergi meninggalkan kita. Hari yang tadi terang-benderang, manusia bertebaran di muka bumi menyelesaikan tugasan duniawi, kini sedikit demi sedikit kembali ke tempat berteduh dan suasana semakin kelam. Lampu-lampu yang indah menerangi kegelapan tersebut, menggantikan keindahan cahayanya siang. Malam juga menjadi indikator kepada kita bahawa hari ini hampir melabuhkan tirainya.

Pernah kita terfikir kenapa Allah jadikan malam buat manusia? Adakah malam itu dijadikan untuk kita beristirahat semata-mata dan biarkan ianya pergi begitu sahaja sementara menunggu siang menjelma? Sedangkan sudah pasti sesuatu yang Allah jadikan itu tidak sia-sia untuk kebaikan manusia sebagai hamba-Nya. Di manakah kebaikan penciptaan malam tersebut? Oleh itu, untuk merungkai persoalan ini, mari kita mengambil ibrah daripada penciptaan malam seperti mana yang diceritakan di dalam Al-Qur’an dan hadith. Serta bagaimanakah malam yang menjelma itu harus kita lewati agar mendapat barakah dan kekuatan untuk melalui siang hari. 

Jangan Lupa Untuk Tidur

Firman Allah SWT:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ مَنَامُكُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱبْتِغَآؤُكُم مِّن فَضْلِهِۦٓ ۚ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu)…

(Surah Ar-Ruum: 23)

Tidur adalah fitrah yang harus dipenuhi oleh manusia. Sebahagian daripada kita harus bekerja di siang hari dan malamnya berpeluang untuk merehatkan badan. Ada pula di kalangan kita yang perlu bekerja di malam hari mencari rezeki dan berehat di siang hari. Memberi rehat pada tubuh badan kita melalui tidur amatlah penting. Tidur ini sama pentingnya seperti makan dan minum, dan tidur juga sebahagian daripada nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Kadangkala ada malam yang kita lalui tanpa tidur yang baik, kerana terlalu memikirkan sesuatu perkara atau ada di kalangan kita yang diuji dengan masalah kesihatan sukar tidur dan sebagainya. Maka tidak boleh tidur, menjadi tekanan buat manusia, menunjukkan bahawa tidur di malam hari adalah sebahagian daripada nikmat buat kita. Selain itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan hak pada badan, untuk berehat dan tidur secukupnya.

Menurut kajian para saintis tidur yang tidak mencukupi boleh memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang, menjejaskan emosi, ingatan serta kualiti hidup. Islam juga turut mengingatkan umatnya untuk mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Nabi Muhammad SAW juga melarang para sahabat solat dalam keadaan mengantuk. Seperti mana dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

Jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika solat, hendaklah dia tidur hingga dia mengetahui apa yang dibaca.

(Hadith Riwayat Bukhari)

Hadith ini menjelaskan kepada kita, sekiranya kita berasa mengantuk yang boleh menjejaskan bacaan solat maka rehatlah sebentar sehingga kita boleh kembali fokus kepada bacaan dalam ibadah tersebut. Oleh itu, rehat dan tidur adalah sangat penting untuk mengembalikan fokus dan memberi tenaga kepada tubuh badan serta otak kita. Jangan lupa untuk tidur dan merehatkan diri. Walaupun ramai anak muda kini kadang-kadang menggunakan waktu malam untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu seperti bermain permainan komputer dan melayari internet, atau bekerja tetapi sekiranya tidak ada keperluan mendesak, elakkanlah untuk berjaga di waktu malam, jadikan waktu malam itu untuk tidur dan berehat agar boleh mengambil barakah bangun di awal pagi dan beraktiviti dengan penuh semangat di siang hari. Bukankah bangun pagi dan bekerja di waktu pagi ada barakah yang tersendiri dan seharusnya itu yang kita kejari. 

Mengikuti Sunnah Untuk Tidur

Banyak hadith-hadith yang menceritakan adab-adab tidur yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan mengikutinya juga sebahagian daripada sunnah. Antara sunnah sebelum tidur yang diajarkan oleh Baginda SAW adalah seperti mana disebutkan di dalam hadith berikut, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Apabila kamu datang ke tempat tidurmu (hendak tidur), berwuduklah seperti mana wudukmu untuk solat, kemudian tidurlah dengan mengiring di bahagian kananmu, kemudian ucaplah: “Ya Allah, aku serahkan diriku kepada-Mu, aku bergantung kepada-Mu untuk memperolehi berkat-Mu dengan harapan dan ketakutanku kepada-Mu. Tiada tempat untuk berlindung dan tempat melarikan diri dari-Mu selain kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab-Mu (Al-Qur’an) yang telah Engkau turunkan dan beriman kepada Nabi-Mu (Muhammad ﷺ yang telah Engkau utuskan”. Jika kamu mati pada malam itu, maka kamu mati dalam fitrah (iaitu dalam Iman dan Islam), dan jadikanlah kalimat itu menjadi kata-kata yang terakhir kamu ucapkan (sebelum tidur)” 

(Hadith Riwayat Bukhari)

Antara adab sebelum tidur yang diajarkan di dalam hadith ini adalah saranan untuk berwuduk sebelum tidur, tidur di dalam keadaan berbaring di sebelah kanan, serta membaca doa sebelum tidur seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas. Antara sunnah lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah membersihkan tempat tidur daripada sebarang perkara yang memudaratkan atau kotoran dengan mengibas-ngibas tempat tidur dengan menggunakan kain atau apa sahaja yang sesuai sambil membaca bismillah (Hadith Riwayat Muslim, 2714). Tambahan pula, antara sunnah Baginda SAW adalah menutup lampu ketika hendak tidur (Hadith Riwayat Bukhari, 5624).

Menurut kajian yang dilakukan oleh American National Sleep Foundation juga tidur dalam keadaan gelap sangat penting untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti. Sudah tentu tidur pada waktu malam, yang sememangnya gelap akan memberikan kita tenaga yang luar biasa di siang hari. Selain itu, dalam hadith lain juga menyarankan untuk umat Islam sentiasa berzikir kepada Allah SWT termasuk ketika hendak tidur di samping menyucikan diri serta berwuduk. Mereka yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan juga berwuduk, sekiranya ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan dunia serta akhirat maka Allah akan mengabulkan hajatnya. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith, maksudnya:

Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim bermalam dalam keadaan berzikir kepada Allah dan dalam keadaan suci, lalu ia bangun pada waktu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia atau akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Maka malam yang dijadikan buat kita bukan sekadar tidur dan melelapkan mata juga mendapatkan rehat semata-mata, tetapi lebih daripada itu adalah, bangun dari tidur pada waktu malam dan berdoa serta bermunajat kepadanya. Ikutilah juga sunnah yang diajarkan Baginda SAW sebelum, semasa dan selepas bangun dari tidur agar kita mendapat malam yang penuh barakah daripada-Nya. 

Memperbanyakkan Ibadah di Waktu Malam

Firman Allah SWT:

لَيْسُوا۟ سَوَآءً ۗ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ أُمَّةٌ قَآئِمَةٌ يَتْلُونَ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

(Surah A-li ‘Imraan: 113)

Ayat ini menjelaskan orang yang taat kepada perintah Allah SWT dan mengikuti Nabi-Nya adalah mereka yang melakukan ibadah di malam hari, memperbanyakkan tahajud serta membaca Al-Qur’an dalam solat mereka. Mereka itu adalah golongan yang berada di jalan yang lurus. Antara solat sunat yang hanya boleh dilakukan pada waktu malam, bermula selepas waktu isya’ sehingga waktu fajar adalah solat sunat tahajud. Solat sunat yang dilakukan pada waktu malam, ketika semua manusia diulit mimpi nan indah ini sangatlah istimewa. Mereka yang bangun dan menunaikan solat di waktu malam ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an sebagai Ibadurrahman (Hamba Allah yang diredhai-Nya). Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَـٰمًا

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.

(Surah Al-Furqaan: 64)

Hamba Allah yang diredhai ini menghidupkan malam harinya dengan beribadah kepada Allah SWT. Mereka juga adalah hamba Allah yang mendapatkan kekuatan untuk bekerja dan berdakwah di siang hari melalui ibadah yang khusyuk di malam hari. Melakukan ibadah di waktu malam dijelaskan oleh Hamka ibarat ‘dinamo’, penjana ‘kuasa’ kepada hamba-Nya untuk lebih kuat emosi dan mentalnya, malahan mendapat barakah kepada kerja-kerja yang dilakukan pada siang hari daripada Allah SWT. Maka memperbanyakkanlah ibadah pada waktu malam dengan solat, zikir dan membaca Al-Qur’an untuk kita mendapatkan tenaga dan kekuatan yang luar biasa untuk bertebaran pada siang hari di muka bumi Tuhan ini. 

Justeru, malam ini akan menjelma lagi, sebelum siangnya tiba niatkan di dalam diri kita untuk mendapatkan rehat secukupnya dan bangun kembali untuk beribadah dan sujud kepada-Nya. Tidurlah mengikut sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW agar tidurnya kita sebagai hamba menjadi ladang pahala. Jangan biarkan malam kita berlalu dengan sia-sia atau sekadar mendapatkan rehat semata-mata. Sedangkan malam yang dilalui akan lebih baik sekiranya kita hiasi dengan ibadah solat dan membaca Al-Qur’an serta mendapatkan peluang untuk menjadi Ibadurrahman. Semoga malam yang dihiasi dengan munajat dan ibadah menjadi barakah kepada siang yang kita lalui. Berkat daripada amalan malam yang kita kejari menjadi mudahnya siang yang kita lewati. Wallahu a’lam.